Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing menghina Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham adalah tidak boleh diterima.
Beliau turut menggesa King Sing memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.
“Itu sesuatu yang juga menghina usaha oleh barisan hadapan untuk memerangi dan melawan Covid-19,” katanya.
Terdahulu, King Sing yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai individu yang ‘takut mati’ kerana kononnya tidak mahu turun padang ke Sabah.
Ekoran itu, Ahli Parlimen Jelutong RN Rayer bertindak mempertahankan Dr Noor Hisham sekaligus mendesak agar pemimpin PN itu menarik balik kenyataan tersebut.
“Jangan hina pegawai kerajaan. Beliau (Noor Hisham) juga petugas barisan hadapan,” tegasnya.
King Sing bagaimanapun enggan berbuat demikian.
Hari ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula bangkit mempertahankan Dr Noor Hisham.
Beliau mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang tidak membuat sebarang keputusan supaya menteri kesihatan memohon pemimpin GPS itu menarik balik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf.
Bagaimanapun Lip Eng telah diperintahkan oleh Azhar untuk keluar Dewan pagi ini dan melarang beliau menghadiri persidangan selama lima hari.
Teruskan gesa King Sing mohon maaf
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata usaha akan diteruskan bagi mendesak supaya King Sing membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu.
Justeru itu, katanya, satu usul akan dihantar berhubung keputusan Azhar untuk tidak menghukum King Sing.
“Satu usul akan dibentangkan oleh Yang Berhormat Jelutong (Rayer) ke atas keputusan speaker masa itu untuk tidak meminta Yang Berhormat Bintulu menarik balik ungkapan dan juga celaan serta penghinaan ke atas Tan Sri Noor Hisham.
“Kita akan buat usul tapi dalam masa yang sama kita harap bahawa speaker akan mengakui bahawa itu adalah satu kesilapan, perintah itu harus dikaji semula dan bahawa Yang Berhormat Bintulu harus menarik balik dan meminta maaf,” ujarnya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau juga berharap kerajaan akan menjarakkan diri daripada kenyataan King Sing.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata tindakan speaker memanggil polis untuk membawa keluar Lip Eng adalah tidak wajar.
“Memanggil polis (bawa keluar Lip Eng dari Dewan Rakyat) adalah sesuatu perkara yang tidak harus berlaku kerana mencemari dan juga mencabar keunggulan Parlimen,” ujarnya.
Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/12/tindakan-king-sing-hina-dr-noor-hisham-tak-boleh-diterima/
No comments:
Post a Comment