Thursday, 19 November 2020

JASA tidak memanfaatkan rakyat, masih banyak peruntukan diperlukan untuk perkara yang lebih penting



Perdana Menteri dan kerajaan perlu segera memberi komitmen secara terbuka untuk menarik balik peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sekiranya kerajaan ikhlas ingin melaksanakan sebuah Belanjawan Perpaduan.

Demikian kata Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP itu pada 7 November lalu, sehari selepas pembentangan Belanjawan 2021.

“Bukankah lebih baik RM85.5 juta dibelanjakan untuk sekolah-sekolah daif yang hanya diberi RM58 juta…

“…atau kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk barisan hadapan negara (RM30 juta)?” soalnya.

Semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), kata Guan Eng, JASA diberikan sekitar RM20 juta setahun sementara Pakatan Harapan (PH) memansuhkan agensi itu sama sekali.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dilaporkan menyoal keutamaan kerajaan memperuntukkan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula JASA dalam keadaan rangkaian penyiaran negara RTM didakwa kekurangan dana.

Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengusulkan supaya wang awam dibelanjakan dengan lebih baik untuk meningkatkan kemahiran kakitangan menteri sedia ada daripada menubuhkan “unit propaganda” baru.

“Saya bagi contoh RTM, dan saya ingin mengatakan dan tanya kerajaan berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh pekerja ‘piecemeal’ dalam RTM. Kita lihat keadaan di mana bayaran mereka gaji mereka ini lewat kerana kononnya tidak ada dana.

“Tapi di sini kita lihat wang sebesar ini boleh disalurkan untuk kita membangunkan semula Jasa.

“Apakah usaha-usaha ini menggalakkan pekerja yang ada dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) supaya mereka boleh melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik supaya kita boleh menguruskan dan membawa maklumat yang perlu kepada seluruh rakyat yang perlu khususnya dalam keadaan sekarang wabak Covid-19,” soalnya seperti dilaporkan Malaysiakini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mencadangkan KKMM memansuhkan hasrat menghidupkan semula JASA dan menggunakan peruntukan sesuai untuk pelaksanaan kempen celik media seluruh negara.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, jelas beliau, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pernah menjalankan kempen tersebut dengan kerjasama institusi pendidikan.

Dengan model yang sama, dan jika peruntukan JASA itu disalurkan, menurutnya, maka seramai 855,000 orang boleh mengambil bahagian dalam kempen celik media tersebut.

“Ini akan melahirkan masyarakat yang cerdik dan celik meneliti maklumat setiap hari.

“Jika KKMM betul-betul berhasrat melawan berita palsu, maka saya sarankan agar Menteri mengambil tindakan ini dan mengembalikan keyakinan kepada rakyat Malaysia,”


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/19/jasa-tidak-bawa-manfaat-kepada-rakyat/?fbclid=IwAR3_WFiSVCsdHyx5Ppn0DicFnbdX3hSbGeQZ372TiIDWnySlhWkl7CXjvSE

No comments:

Post a Comment