Tuesday, 3 November 2020

Tiga Aspirasi khusus untuk bidang pendidikan dalam Belanjawan 2021

 (Ahli Parlimen Kulai dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan)

Berikut adalah tiga aspirasi saya untuk Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat ini, khusus dalam bidang pendidikan:

  1. Meningkatkan peruntukan untuk Murid Berkeperluan Khas dan Pendidikan Khas

Sejak “Zero Reject Policy” / Dasar Sifar Penolakan dilancarkan oleh Pakatan Harapan pada tahun 2019, bilangan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang belajar di sekolah kerajaan meningkat secara mendadak.

Jumlah MBK setakat 30 Jun 2020 telah mencapai 92,755 orang, berbanding 83,039 orang pada Januari 2019.

Susulan itu, peruntukan untuk elaun Murid Berkeperluan Khas juga bertambah dari RM100 juta pada 2018 kepada RM155 juta pada tahun 2020. Kerajaan PH juga telah memperuntukkan RM23 juta untuk melengkapkan sekolah-sekolah dengan kemudahan OKU.

Menjelang 2021, saya berharap elaun MBK akan terus meningkat dan dana juga turut diperuntukkan untuk kemudahan OKU, supaya Dasar Sifar Penolakan akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai Murid Berkeperluan Khas.

  1. Mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif dan selamat

Pada 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengemukakan 17 cadangan sekolah baharu kepada EPU. Malangnya, kebanyakan permohonan KPM telah ditolak oleh EPU.

Menurut NUTP, 57 sekolah melaksanakan sistem penggiliran bagi memastikan penjarakan sosial berlaku. Murid-murid mengambil giliran untuk balik sekolah kerana situasi sekolah yang sangat sesak.

Saya berharap, kawasan seperti Kota Kemuning, Kota Warisan, Bukit Jalil akan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2021, supaya sekolah baharu akan diluluskan untuk diwujudkan di kawasan-kawasan tersebut.

Pada masa yang sama, dana penyelenggaraan sekolah telah meningkat dari RM600 juta pada zaman BN kepada RM735 juta pada zaman PH. Dana penyelenggaraan dan penambahbaikan adalah penting bagi memastikan murid-murid kita dapat belajar dalam suasana yang kondusif. Dana ini juga penting untuk menyelenggara sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan daif.

  1. Menyediakan Sarapan Pagi yang berkualiti untuk murid-murid golongan B40

Program ini bertujuan memberikan makanan berkhasiat berdasarkan keperluan nilai kalori dan nutrisi penting serta amalan pemakanan seimbang. Ini bagi memastikan murid-murid dapat mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran, pertumbuhan fizikal dan kognitif di peringkat sekolah rendah.

Pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif dari segi sumber pendapatan kepada golongan B40. Sehubungan itu, lebih ramai murid-murid golongan B40 dapat memperoleh manfaat daripada program ini, agar mereka mendapat makanan yang berkhasiat.

Saya berharap program ini akan mendapat bajet yang lebih besar, supaya lebih ramai murid golongan B40 dapat dibantu, juga kos per kapita akan meningkat dari RM2.35. Ini boleh dikaji supaya makanan yang lebih berkualiti dapat dibekalkan.

Saya amat memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh kerajaan semasa. Namun begitu, pendidikan adalah asas pembangunan negara. Semasa negara kita dilanda pandemik Covid-19, kepentingan dan kebajikan 4.7 juta orang pelajar tidak boleh diabaikan.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/04/aspirasi-belanjawan-2021-untuk-pendidikan/?fbclid=IwAR33s21h8y7-tlRF8-7Qk2VC5OztD1cdzsvajDEymJLhInad_QjaVQL4kIc

No comments:

Post a Comment