Wan Azizah Wan Ismail (PH - Pandan) mencadangkan agar ahli parlimen yang dilantik menjadi pengerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dikenakan pemotongan elaun dan yuran sebanyak 50 peratus.
Katanya, pemotongan itu bukanlah dicadangkan “saja-saja”, tetapi bagi membolehkan ia disalurkan kepada Tabung Covid-19.
Dalam masa sama, katanya, dia turut mencadangkan agar gaji ahli parlimen yang menjawat jawatan-jawatan penting turut dipotong gajinya sebanyak 10 peratus, bagi menonjolkan kepemimpinan melalui teladan.
“Saya mencadangkan supaya elaun dan yuran pengerusi mana-mana ahli YB yang menjadi pengerusi mana-mana GLC, GLIC dikurangkan sebanyak 50 peratus.
“Pengurangan ini, bukan saja-saja, (tetapi) disalurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR_ kepada Tabung Covid-19. Sebab YB-YB ini, telah bergaji pun.
“Dalam masa yang sama, kepemimpinan melalui teladan, (gaji) perdana menteri, menteri kanan, menteri-menteri, dan timbalan menteri, juga dipotong 10 peratus,” sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan Wan Azizah itu senada dengan yang disuarakan beberapa pemimpin politik sebelum ini.
Antaranya bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal yang mencadangkan pemotongan gaji menteri sebanyak 30 peratus, manakala Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan pemotongan gaji golongan berpendapatan tinggi sebanyak 10 peratus, baik di sektor awam mahupun swasta.
Ekoran Covid-19, sebahagian rakyat terpaksa berdepan kehilangan kerja dan pemotongan gaji gara-gara banyak perniagaan dalam industri yang menerima tempias wabak itu, lebih-lebih lagi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
Sebahagian pihak menggesa agar pemotongan elaun dibuat terhadap ahli politik berjawatan tinggi dalam kerajaan bagi dan disalurkan bagi membantu rakyat yang terjejas.
Pada masa ini, gaji perdana menteri adalah RM22,826.65, manakala gaji menteri pula RM14,907.20, tidak termasuk gaji yang diterima sebagai ahli parlimen.
Sebelum ini, selepas penularan Covid-19, kabinet Muhyiddin Yassin pernah mengumumkan pemotongan gaji dua bulan melibatkan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 yang dilancarkan 11 Mac tahun ini.
Tabung Covid-19 diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Terdapat 31 menteri penuh, termasuk empat menteri kanan, serta 37 timbalan menteri dalam kabinet Perikatan Nasional.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/551265?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook
No comments:
Post a Comment