Amanah Perak menempelak ahli parlimen Bintulu Tiong King Sing kerana menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah "takut mati" kerana tidak turun padang ke Sabah.
Timbalan pengerusinya Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan kenyataan Tiong semalam sebagai biadab dan menghina petugas barisan hadapan.
"Amanah Perak menegaskan tindakan ahli parlimen Bintulu tersebut sangat biadab dan kurang matang. Ia semata-mata hanya inginkan publisiti murahan ahli politik berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, sidang Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan “DG (ketua pengarah kesihatan) takut mati” dikeluarkan Tiong pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021.
Tiong ketika membahaskan RUU itu mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung.
Kenyataan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said menarik balik kenyataan itu.
Nizar yang juga Adun Sungai Rapat berkata apa lebih menyedihkan apabila Tiong tidak memohon maaf.
Nizar juga berkata timbalan speaker, Azalina Othman hanya memberi kata dua “tanpa ketegasan” agar wakil rakyat Sarawak itu menarik balik kenyataan atau meminta maaf.
"Selaku sebahagian anggota kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sensitif.
"Amanah Perak berpandangan KP Kesihatan telah menjadi mangsa politik yang tidak sepatutnya. Sedangkan beliau berusaha sebaik mungkin setiap hari bagi memerangi Covid-19,"katanya.
Selain itu, Nizar juga turut mempersoalkan di mana Menteri Kesihatan Adham Baba ketika pegawainya diserang sedemikan rupa.
"Di manakah menteri kesihatan atau menteri air suam? Di manakah timbalan menteri kesihatan? Adakah mereka berdua yang takut mati?” soalnya.
Tiong dalam kenyataannya hari ini menjelaskan dia tidak berniat jahat terhadap Noor Hisham tetapi hanya mengetengahkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kelemahan kerajaan memberi respons terhadap penyebaran Covid-19.
Ditanya pemberita, Noor Hisham semalam berkata dia telah mengunjungi Sabah pada penghujung Ogos lalu bagi memantau persiapan Kementerian Kesihatan menjelang pilihan raya negeri pada September.
Katanya, dia juga mengarahkan timbalannya, Dr Chong Chee Kheong dan Penasihat Khas Kesihatan Perdana Menteri, Jamilah Mahmood melawat Sabah dua minggu lalu untuk melihat tindakan dan pengurusan kes Covid-19.
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/550602
No comments:
Post a Comment