Monday, 16 November 2020

Penutupan Sekolah dan Universiti, Beri Kuasa Kerajaan Negeri Tentukan -Lim Kit Siang


Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu cuba untuk memastikan sekolah dan universiti dibuka semasa pandemik Covid-19, dengan mengambil kira keperluan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19, bukannya menutup mereka sebagai tindakbalas refleks

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu cuba untuk memastikan sekolah dan universiti dibuka semasa pandemik Covid-19, dengan mengambil kira keperluan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19, bukannya menutup mereka sebagai tindakbalas refleks.

Kerana inilah pengumuman daripada Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengenai penutupan semua sekolah, bermula daripada 9 November, termasuklah di negeri yang tidak mempunyai zon merah, mendapat reaksi yang bercampur baur. 

Dalam tempoh awal berhadapan dengan wabak Covid-19 pada bulan Mac dan April tahun ini, semasa negara kita dan dunia masih cuba memahami wabak ini buat kali pertama, ketidaktentuan dengan keadaan dan sifat wabak ini telah menyebabkan kita menutup sekolah sebagai tindakbalas refleks untuk mengekang penularan Covid-19. 

Namun, selepas 10 bulan berhadapan dengan wabak ini, kita perlu belajar dari pengalaman kita dan seluruh dunia, dan mengambil langkah yang fleksibel dalam meletakkan reaksi yang berpatutan terhadap pelbagai masalah kesihatan, sosial, dan ekonomi yang dibawa oleh wabak ini. 

Salah satu pengajaran yang dapat dipelajari daripada wabak ini adalah, tidak ada solusi yang bersesuaian untuk semua kombinasi keadaan, memandangkan penutupan sekolah ini bukan sahaja memberikan impak yang buruk kepada pelajar, guru, dan keluarga, tetapi mempunyai kesan ekonomi dan sosial yang meluas. 

Jawapan Dr Radzi di Parlimen yang mengatakan penutupan semua sekolah, termasuklah di negeri yang tidak di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan wabak Covid-19 ini tidak cukup meyakinkan. 

Adakah Dr Radzi cuba mengatakan yang sekolah dan universiti adalah pusat penularan semula jadi wabak ini? Adakah sekolah dan universiti akan terus ditutup sehingga berakhirnya penularan wabak ini?

Memandangkan kita masih belum tahu, bilakah vaksin Covid-19 akan akhirnya tersedia dengan meluas, dengan kesedaran yang pandemik ini mungkin akan berterusan dalam keseluruhan tahun hadapan, malah mungkin berterusan sehingga 2022, rakyat di seluruh negara di dunia perlu belajar dan berubah untuk hidup bersama dengan wabak ini kerana hampir mustahil untuk kita menutup semua sekolah dan universiti sehingga 2022. 

Sekolah dan universiti patut dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bersama dengan pendekatan yang lebih kreatif, seperti saiz kelas yang lebih kecil ataupun kelas yang diadakan dua minggu sekali yang berselang-seli. 

Keputusan penutupan sekolah dan universiti patut diturunkan — sebagai contoh, dengan memberikan kuasa kepada setiap kerajaan negeri untuk membuat keputusan mengenai perkara ini dan bukannya dengan melalui suatu agensi kebangsaan. 

Pertubuhan bukan kerajaan pendidikan dan kumpulan ibu bapa patut dilibatkan dalam proses untuk memastikan sekolah dan universiti dapat terus dibuka dalam tempoh wabak Covid-19, bukannya dengan sewenang-wenangnya mengisytiharkan penutupan sekolah, yang pastinya akan membawa bersamanya, kesan ekonomi dan sosial yang berpanjangan selepas wabak ini telah beredar surut. 

Sumber: https://www.roketkini.com/2020/11/16/covid-19-beri-kuasa-kepada-negeri-tentukan-penutupan-sekolah-universiti/

No comments:

Post a Comment