Komitmen Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) yang gagal membantah Belanjawan 2021 membuktikan parti itu tidak serius dan hanya konsisten dengan retorik mereka di luar dewan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, spekulasi kononnya blok backbenchers BN akan bersama blok pembangkang dalam undian belanjawan ternyata meleset sehingga ke undian terakhir.
Bagaimanapun katanya, biarpun blok pembangkang kalah dalam setiap undian di peringkat jawatankuasa, tetapi perkara asas tentang keabsahan majoriti tidak pernah dicapai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Spekulasi kononnya blok backbenchers BN akan bersama blok pembangkang dalam undian ternyata meleset. Komitmen mereka membantah bajet gagal diterjemahkan dan sekaligus terbukti BN tidak serius dan konsisten dengan retorik mereka di luar dewan.
“Tetapi, kegagalan Muhyiddin membuktikan keabsahan majoriti serta krisis hubungan Bersatu dan Umno kekal meributkan blok BN-PN.
“Walaupun Umno gagal menzahirkan keretakan ini dalam undian tempoh hari, ini bukan bermakna Umno menyokong Muhyiddin dan PN,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mengulas berhubung dakwaan sebahagian Ahli Parlimen Umno telah pun menyatakan sokongan secara senyap kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencukupkan majoriti dan sekaligus mengembalikan keabsahan majoriti kepada Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri.
Tegas Mujahid, AMANAH konsisten dalam menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menggerakkan usaha mengambil semula hak PH yang dinafikan para pembelot.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan langkah Anwar berakhir dengan plot yang ditetapkan iaitu mendapat majoriti dan membentuk kerajaan yang dipercayai rakyat selain mampu menguruskan krisis pandemik Covid-19 dengan berkesan.
“Bagaimanakah langkah pasca bajet mampu memulihkan demokrasi dan menyembuhkan luka disebabkan para pembelot mandat?
“Perundangan negara dan prinsip demokrasi akan menentukan jawapannya setelah segala usaha meyakinkan dalam kalangan 220 Ahli Parlimen sampai ke tahap maksima,” katanya lagi.
Sumber: https://malaysiadateline.com/walau-pembangkang-tewas-keabsahan-muhyiddin-masih-gagal-dibuktikan/
No comments:
Post a Comment