Semua Ahli Parlimen termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional patut menyokong seruan Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentangkan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, ini susulan daripada penurunan taraf kredit negara oleh agensi penarafan kredit Fitch.
Katanya, penurunan taraf kredit oleh Fitch ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja oleh kerajaan dan Parlimen.
Tambahnya, ini memandangkan kredibiliti dan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kabinet gergasi beliau kini dipersoalkan dan hanya dapat diputuskan melalui satu undi percaya atau undi tidak percaya, supaya gelaran ‘kerajaan pintu belakang’ yang diberikan kepada kerajaan Muhyiddin dapat ditinggalkan.
“Amatlah malang sekiranya selepas 10 bulan berkuasa kerajaan Muhyiddin masih tidak berani untuk berhadapan dengan usul percaya atau usul tidak percaya untuk dibentangkan dan diundi di Parlimen. Berapa lama lagi rakyat Malaysia perlu menunggu?
“Perbahasan dan undian terhadap kepercayaan Ahli Parlimen yang dimiliki oleh kerajaan ini lebih mendesak memandangkan penurunan taraf kredit oleh Fitch ini diterbitkan kira-kira sebulan selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Perkara ini boleh dilihat sebagai satu undian tidak percaya daripada komuniti antarabangsa terhadap Belanjawan 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang seterusnya menyeru supaya takwim Parlimen dipinda bagi membolehkan satu usul kepercayaan atau usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, susulan daripada penurunan taraf kredit oleh Fitch untuk dibahaskan sebelum bacaan kali ketiga dan terakhir untuk Belanjawan 2021 diundi pada 16 Disember ini.
“Bagaimana takwim Parlimen ini patut dipinda untuk memberikan ruang untuk perkara ini patut ditentukan secara bersama oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan, Fitch Ratings menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘.
Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/08/semua-patut-sokong-bentang-usul-tak-percaya-pm/?fbclid=IwAR2N8KAKMGoHpiyhYqbYlH-dFl-J6dMoeoxIABQab8uQB0_gQG5UluvWbyo
No comments:
Post a Comment