Thursday, 10 December 2020

Suasana kesihatan negara yang luar biasa, namun peruntukan hanya biasa-biasa - Dr Dzulkefly



Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa Belanjawan 2021 gagal memperkasa sistem kesihatan negara apabila peruntukan yang dibekalkan kepada kementerian berkenaan disifatkan sebagai biasa-biasa dalam suasana yang luar biasa.

Menurutnya, tiada peningkatan peruntukan seperti yang dituntut badan-badan kesihatan seperti ‘Malaysian Health Coalition’, Academy of Medicine Malaysia (AMM) dan Malaysian Medical Association (MMA) biarpun kerajaan menjelaskan tiada penurunan peruntukan untuk kesemua 29 program perubatan.

Beliau juga membandingkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) membelanjakan kepada KKM sehingga 10.3 peratus dari keseluruhan belanjawan iaitu (RM30.6 bilion dari RM297 bilion), berbanding Perikatan Nasional (PN) yang hanya memperuntukkan sekitar 9.9 peratus atau (RM31.9 bilion dari RM322 bilion).

“Ini amat mengecewakan dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Belanjawan ini bukan sahaja untuk Covid-19, tetapi ia perlu meliputi peruntukan untuk Denggi, Tuberculosis TB dan lain-lain penyakit yang bersifat bermusim. Perlu juga mengambil kira cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Belanjawan yang tidak mencerminkan kesedaran dan keinsafan dalam menangani NCDs juga adalah belanjawan yang gagal dan tidak prihatin,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sementara itu, Dzulkefly yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH mempersoalkan apakah rancangan KKM untuk terus memperkasakan Peka B40, saringan dan juga rawatan NCDs.

Beliau juga bertanya tentang rancangan KKM dalam memperkasakan ‘Primary Health Care’ di sektor awam dan swasta kerana mereka adalah ‘Gate-Keepers’ sebenar dalam menangani NCDs dan juga penyakit berjangkit yang lain.

Akhir sekali, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut mengkritik tentang peruntukan yang langsung tidak disediakan untuk sistem Electronic Medical Record (EMR) dalam belanjawan kali ini.

“EMR adalah kunci pemerkasaan penjagaan pesakit.

“Namun sekali lagi Kerajaan PN gagal. Sekali lagi saya sebutkan Vietnam telah pun mengisytiharkan program nasional untuk EMR di seluruh negara mereka dalam masa dua tahun. Maka tertinggal lagilah kita,” katanya lagi


Sumber: https://malaysiadateline.com/peruntukan-untuk-kesihatan-biasa-biasa-dalam-suasana-luar-biasa-kata-dr-dzul/#more

No comments:

Post a Comment