Thursday, 3 December 2020

Pulau Pinang cadang Kerajaan Pusat biayai sepenuhnya kos saringan Covid19



Adalah dicadangkan supaya Kerajaan Pusat membiayai sepenuhnya kos saringan Covid-19 yang dilaksanakan oleh pihak majikan dengan memanfaatkan peruntukan tambahan berjumlah kira-kira RM5 bilion sepertimana yang dibentangkan dalam Belanjawan baru-baru ini.

Demikian disarankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Malah kata beliau lagi, tindakan tersebut adalah bertepatan dengan keputusan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 bagi hampir sejuta pekerja asing sepertimana yang telah dinyatakan mulai bulan ini.

“Seramai 127,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan di Pulau Pinang sedang menjalani ujian saringan Covid-19 sepertimana yang dikehendaki oleh kerajaan.

“Kerajaan negeri turut membuat pemantauan terhadap proses saringan yang sedang dilaksanakan oleh majikan masing-masing tatkala ini dan adalah difahamkan proses ujian saringan tersebut hampir selesai.

“Ketika ekonomi sedang terjejas tatkala ini dan pelbagai sektor mengurangkan jumlah tenaga kerja, manakala dalam masa yang sama majikan pula perlu menghantar pekerja mereka untuk disaring dan membiayai kos mencecah ratusan ringgit,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu katanya, kerajaan perlu membiayai kos saringan tersebut kerana ia merupakan tanggungjawab mereka setelah adanya peruntukan bagi Covid-19 dalam Belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini.

Sumber: https://malaysiadateline.com/p-pinang-cadang-pusat-biayai-kos-saringan-covid-19/

No comments:

Post a Comment