Thursday 17 December 2020

70% Hutan Simpanan Kekal Pulau Pinang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air

 


GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewartakan seluas 3,565 hektar atau 70 peratus Hutan Simpanan Kekal sebagai kawasan Hutan Tadahan Air sejak tahun 2004.


Malah menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Yeow, Pulau Pinang merupakan antara negeri terawal yang mewartakan kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) Negeri 1998 meliputi kawasan Hutan Simpanan Kekal pada tahun yang sama.


“Isu berhubung dengan akta pewartaan dibangkitkan semula pada mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-75 pada Ogos 2019 yang mana kawasan tadahan air juga perlu diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.


“Justeru, saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat khas berhubung perkara ini pada 30 September 2019 dan serentak dengan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang memperincikan semula maklumat berkaitan termasuk kawasan Bukit Bendera.


“Perkara itu kemudian dibentangkan pada mesyuarat Exco pada 2 Disember 2020 dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai halangan untuk mewartakan Hutan Simpanan Kekal sebagai Hutan Tadahan Air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.


“Malah, Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan seluas 3,790.54 hektar Hutan Simpanan Kekal untuk diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di bawah seksyen 10(1)(e) akta yang sama.


“Jumlah ini menunjukkan pertambahan sebanyak lima peratus yang turut merangkumi Hutan Simpanan Kekal lain yang tidak diwartakan di bawah EPA 1998 pada tahun 2004,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.


Kon Yeow berkata demikian sebagai respons kepada jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air di Dewan Rakyat yang kononnya Pulau Pinang masih belum mewartakan walau sedikitpun kawasan tadahan air di negeri ini.


Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf.


Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang kini dalam proses membuat pewartaan dan dijangka selesai disiar warta pada Jun 2021.


“Jelas di sini bahawa Kerajaan Negeri tidak berlindung dan menyembunyikan sebarang fakta, malah bersetuju untuk menambah keluasan hutan tadahan air sedia ada.


“Isu yang timbul adalah pewartaan di bawah perundangan yang berbeza namun kedua-dua perundangan tersebut mempunyai tujuan sama iaitu mewujudkan serta memelihara kawasan tadahan air untuk menjamin bekalan air,” ujarnya.


Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa selain mewartakan kawasan tadahan air, Pulau Pinang juga merupakan negeri yang tidak mengamalkan kaedah pembalakan kawasan Hutan Simpanan Kekal.


“Kali terakhir aktiviti pembalakan dilaksanakan adalah pada tahun 1972 dan ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang memberi perhatian yang serius terhadap isu ini,” tegasnya.


Dalam pada itu, Muhammad Ezhar menjelaskan secara prinsipnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun melindungi kawasan tadahan air tetapi di bawah perundangan yang berbeza.


“Ini bermakna Pulau Pinang hanya akan mewartakan semula kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara,” jelasnya.


Sumber: https://www.buletinmutiara.com/70-hutan-simpanan-kekal-pulau-pinang-telah-diwartakan-sebagai-kawasan-tadahan-air/?fbclid=IwAR0YrqWd5ZX6AIaE0jq3htQdPxHWT5UKztV9pQSfkMDTKmkkA5kcr-O2IU8

No comments:

Post a Comment