Thursday 3 December 2020

Rakyat dihimpit bebanan Covid-19, apa keperluan Exco Kerajaan Negeri Melaka beli Toyota Camry?



MELAKA: Pembelian beberapa buah kereta baharu untuk kegunaan Exco Kerajaan Negeri Melaka dipersoalkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) ketika rakyat dihimpit dengan bebanan ekoran pandemik Covid-19.

Ujar mereka, kerajaan negeri sewajarnya mengutamakan kepentingan rakyat dengan berusaha memulihkan ekonomi dan mewujudkan peluang kerja baharu kepada golongan muda yang semakin ramai menganggur.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka, Muhamad Danish Zainudin berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali perlu tampil segera memberi penjelasan tentang keperluan menukar kereta ketika ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada barisan Exco terdahulu pada zaman PH, kereta Honda Accord masih boleh digunakan kerana berada dalam keadaan baik.

“Pemuda PH menyelar tindakan kerajaan negeri membeli beberapa buah kenderaan rasmi berjenama Toyota Camry ketika rakyat menghadapi kegelisahan dan keresahan akibat Covid-19.

“Sepatutnya kerajaan negeri meletakkan keutamaan rakyat dan bukan berbelanja sakan untuk diri sendiri,” katanya ketika menyertai bantahan aman di hadapan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Difahamkan, sebanyak 12 buah kereta mewah jenis Toyota Camry kini digunakan barisan Exco kerajaan negeri menggantikan Honda Accord sedia ada.

Pertengahan bulan lalu, tular di Facebook gambar sebuah kereta mewah iaitu Lexus ES250 dengan nombor pendaftaran M1 yang dikatakan kenderaan rasmi Sulaiman selain turut melibatkan kereta pegawai kanan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah negeri, Muhd. Haziq Norizan berkata, pembelian kenderaan baharu itu disifatkan sebagai pemborosan oleh kerajaan negeri pada waktu ini.

“Kita berharap kerajaan negeri berbelanja dengan jimat dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat, malah kita juga ternanti-nanti apakah ‘wow factor’ yang akan dibentangkan dalam belanjawan negeri minggu hadapan,” katanya.


Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/rakyat-susah-belanja-sakan-beli-kereta/?fbclid=IwAR0GxmKgZkGfvsbcEhPMzC_kYy4bdGgmvt8MKPZFVPG1jzoX22DOcx5zZjQ

No comments:

Post a Comment