Wednesday, 30 December 2020

Malaysia catat 108, 615 jumlah kes, Kit Siang gesa sidang parlimen khas bincang Covid-19


 

Mesyuarat Kabinet hari ini harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada Januari bagi menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan mengguna pakai strategi melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19

Semalam, Malaysia mencatatkan 1,925 kes baru Covid-19, meletakkan Malaysia di tempat ke-35 dengan peningkatan kes harian tertinggi Covid-19 di dunia. 

Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia nampaknya seperti tidak terkawal.

Mesyuarat Kabinet terakhir tahun ini yang berlangsung pada hari ini harus berusaha memperbaiki kesilapan kerajaan dalam memimpin peperangan melawan wabak Covid-19 dan harus mengadakan sidang Parlimen khas pada Januari 2021 untuk menangani situasi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan mengguna pakai strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai pandemik Covid-19.

Walaupun saya telah menggesa supaya kerajaan menerapkan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid -19 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 sejak enam bulan yang lalu, ia tidak diendahkan pihak kerajaan.

Kita telah mengatasi China – di mana wabak ini tercetus – yang mempunyai populasi 40 kali ganda berbanding Malaysia, dalam jumlah terkumpul kes positif Covid-19, pada 16 Disember.

Kita sekarang berada di tangga ke-74 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia, dengan rekod 108,615 kes, sementara China berada di di tangga ke-81 dengan 87,003 kes.

Berdasarkan kadar peningkatan kes Covid-19 semasa, Malaysia kemungkinan akan mengambil tempat Myanmar yang kini berada di tangga ke-68 dalam senarai jumlah terkumpul kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dan tidak mustahil akan berada di kedudukan antara  ke-30 hingga ke-40 dalam masa tiga minggu akan datang.

Ketika itu, sekitar Hari Pelantikan Presiden Amerika Syarikat yang baru iaitu pada 20 Januari 2021, negara itu kemungkinan akan merekodkan 25 juta kes Covid-19 dan dunia pula akan merekodkan hampir 100 juta kes.

Malaysia kini, adalah antara negara terburuk di ASEAN dalam usaha memerangi wabak Covid-19, tewas kepada Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Laos, malah hampir mengatasi Myanmar dan menewaskan Indonesia dalam indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk” (Indonesia 2,645 vs Malaysia 3,335), sementara ketinggalan berbanding belakang Filipina dalam semua aspek – dari jumlah keseluruhan kes Covid-19, kematian Covid-19 hingga indeks “jumlah kes per 1 juta penduduk”.

Apa yang berlaku dengan sistem kesihatan awam di Malaysia? Negara ini harus menjadi antara yang terbaik dan bukan antara yang terburuk di ASEAN.

Pakar kesihatan meminta supaya strategi yang berbeza diguna pakai dalam usaha memerangi Covid-19 untuk mengelakkan bebanan yang lebih besar terhadap sistem kesihatan awam.

Ini seharusnya menjadi agenda utama Kabinet hari ini, dan pengumuman strategi baru untuk mengendalikan gelombang ketiga pandemik Covid-19 harus diumumkan setelah mesyuarat Kabinet tamat.

Dalam konteks ini, amaran oleh mantan setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri Singapura, Bilahari Kausikan, di NikKei Asia bahawa “Asia Tenggara mesti bersiap sedia untuk situasi terburuk pada tahun 2021” harus dipandang serius oleh Kabinet.

Beliau berkata bahawa pandemik Covid-19 telah mendedahkan kegagalan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Beliau menulis:

“Vaksin yang sesuai akan diberikan sepanjang tahun. Tetapi vaksin bukanlah ubat mujarab untuk sebuah pentadbiran yang teruk. Negara-negara ini masih akan terus bergelut untuk mengelak dari terus tenggelam….

“Ketika pandemik berlarutan dan keletihan mula menguasai, tidak mustahil akan berlaku gelombang jangkitan baru. Mengelakkan rasa tidak puas hati dan menjaga disiplin sosial akan menjadi cabaran serius, kerana kita tidak boleh selamanya menutup sempadan negara masing-masing. Kos ekonomi semakin meningkat dan akan terus meningkat.”

Amat menyedihkan untuk kita meninjau kembali apa yang telah berlaku sepanjang tahun ini dan begitu banyak peluang yang terlepas, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia dalam soal perang melawan pandemik Covid-19.

Pada akhir bulan Mac tahun ini, pengarah perubatan Perkhidmatan Kesihatan Nasional Britain (NHS) di England, Prof Stephen Powis berkata setiap warga United Kingdom harus memainkan peranan untuk memastikan angka kematian tidak mencapai 20,000 sementara individu yang bertanggungkawab ketika itu untuk memerangi wabak Covid-19 di Amerika Syarikat, Anthony Fuaci, yang merupakan pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional AS, memberi amaran bahawa Covid-19 boleh meragut 100,000 hingga 200,000 nyawa.

Hari ini, kematian akibat Covid-19 di Amerika Syarikat adalah berjumlah 345,512 dan cakap-cakap tentang negara tersebut bakal merekodkan 500,000 kematian sedang sibuk diperkatakan, sementara United Kingdom (71,567 kematian) adalah negara keenam di dunia setelah Amerika Syarikat, Brazil (191,735) , India (148,423), Mexico (122,855) dan Itali (73,029) dengan kematian tertinggi akibat Covid-19.

Pada 23 Mac 2020, saya telah menggesa kerajaan untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan semua rakyat Malaysia dan untuk berkomunikasi secara berkesan mengenai usaha memerangi pandemik Covid-19, pun begitu kerajaan telah gagal dalam kedua-dua hal tersebut.

Kegagalan besar ini yang menyebabkan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia dan ini harus menjadi perkara khusus untuk dibincangkan pada sidang Parlimen khas bulan depan.


Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/30/kit-siang-gesa-sidang-parlimen-khas-bincang-peningkatan-kes-covid-19/?fbclid=IwAR1PbkbFV1fwHsPNTmH1QTYt8t8g_hvAH39JYOKSWzCWH79iEVuLEfiW2Cg

No comments:

Post a Comment