Wednesday, 2 December 2020

PAC pandang serius isu rasuah yang mencanak naik sepanjang 12 bulan lepas



Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang mendapati 71 peratus rakyat Malaysia beranggapan rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah besar, menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap integriti institusi pentadbiran awam.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut perlu dikenal pasti dan usaha-usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, keberkesanan Pelan Pencegah Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji memandangkan tempoh soal selidik laporan itu adalah dalam tempoh masa pelaksanaan NACP.

“PAC Parlimen akan memanggil Transparency International untuk memberikan taklimat berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan.

“PAC juga akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memberikan laporan dan ulasan SPRM berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan terbitan Transparency International (TI) mendapati 39 peratus rakyat Malaysia merasakan masalah rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lepas, selain 71 peratus rasuah dalam sektor kerajaan.

Laporan yang sama juga menunjukkan 30 peratus rakyat Malaysia merasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah.

Sebanyak 13 peratus rakyat Malaysia pula mengaku pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam sepanjang tempoh setahun lalu.

Sementara itu, kadar kepuasan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula berada pada paras 74 peratus.

Pada masa yang sama, 25 peratus rakyat Malaysia dalam kaji selidik berpendapat bahawa Perdana Menteri adalah korup.

Peratusan itu adalah lebih tinggi berbanding sembilan negara Asia lain iaitu Taiwan (24%), Maldives (22%), Bangladesh (20%), Indonesia (20%), Myanmar (18%), China (15%), Vietnam (8%), Filipina (7%) dan Kemboja (7%).

Manakala 36 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau berpendapat Ahli Parlimen mereka adalah korup.

Persepsi tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan tujuh negara Asia lain iaitu Bangladesh (18%), Taiwan (17%), Myanmar (14%), Filipina (12%), China (11%), Kemboja (6%) dan Vietnam (6%).

“PAC Parlimen memandang serius laporan yang diterbitkan ini. PAC Parlimen berpendapat angka ini menunjukkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam negara serta anggota-anggotanya,” jelasnya lagi.

Sumber: https://malaysiadateline.com/pac-pandang-serius-isu-rasuah-naik-mendadak-sepanjang-12-bulan/

No comments:

Post a Comment