Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan masih bertanyakan “macam mana tu?” selepas seorang warganet memberitahu kelebihan memakai topeng muka kategori tiga lapisan.
Pertanyaan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berlaku walaupun sudah setahun dunia dilanda pandemik Covid-19.
Terdahulu, Nasruddin berkongsikan gambarnya memakai pelitup berharga RM4.90 yang boleh dibasuh dan dianggap lebih menjimatkan berbanding pelitup muka pakai buang yang lazim dipakai ramai orang.
“Sementara menanti Mask YADIM, guna mask ini dulu buat sementara. Harga RM4.90 sahaja, boleh pakai basuh. (Lebih jimat dari mask pakai buang.),” katanya semalam di Facebook rasminya.
Seorang pengguna media sosial itu, Daud Zulkhairi kemudiannya memberitahu pelitup muka kategori tiga lapisan adalah lebih selamat diguna dalam menghalang penyebaran virus melalui pengudaraan.
“Tapi yang 3-ply lagi selamat ustaz yang orang Kementerian Kesihatan syorkan,” katanya.
Daud kemudiannya memberi penjelasan selepas Nasruddin ringkas bertanya, “macam mana tu?”.
“Yang macam ni ustaz.. Makin kerap pakai dan buang lagi bagus sebab virus boleh melekat di pelitup yang kita pakai tu.
“Buang saja terus,” jelasnya sambil melampirkan tangkap layar dari Google yang menunjukkan rupa pelitup tiga lapisan itu.
Susulan pertanyaan Nasruddin itu, orang ramai kemudiannya membanjiri ruangan komentar di media sosial bekas Ahli Parlimen Temerloh berkenaan.
Rata-rata mengetawakan pemimpin Pas bahkan ada meminta Nasruddin memadam hantaran itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan dan sidang media harian mengenai Covid-19 kerap mengingatkan kepentingan pemakaian topeng muka kategori tiga lapisan dan N95.
Penggunaan pelitup jenis itu paling sesuai digunakan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19 kerana mampu menapis kira-kira 95 peratus virus.
Sebaliknya, KKM tidak menggalakkan orang ramai menggunakan pelitup muka fabrik yang hanya mempunyai satu atau dua lapisan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Julai lalu misalnya, dilapor berkata, hanya pelitup fabrik tiga lapisan yang disarankan bagi mengekang penularan Covid-19 mengikut garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut KKM juga, topeng kain atau span yang berfesyen tidak mampu menapis virus sekali gus gagal sama sekali menghalang jangkitan virus menerusi ‘airborne’ (udara).
No comments:
Post a Comment