Langkah menyerap kakitangan kontrak ke dalam perkhidmatan awam dapat memberi penjimatan sehingga RM500 juta kepada kerajaan, menurut Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang.
Chang memetik dapatan kajian oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berhubung dakwaan pembaziran dana awam susulan amalan penyumberluaran (outsourcing).
"Selama ini kita sering diberitahu yang penswastaan adalah cara yang baik untuk menjimatkan dana kerajaan.
"Tetapi saya ingin beri satu contoh, berdasarkan kajian JPKK," kata ahli Parlimen PKR itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Menurutnya, data JPKK mendapati kerajaan membayar RM1.5 bilion pada 2019 kepada pihak ketiga untuk kontrak menyediakan 40,000 pengawal keselamatan di sekolah di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya lagi, hanya RM1 bilion digunakan untuk membayar pekerja, manakala syarikat yang mendapat kontrak itu meraih RM500 juta.
"Jika kerajaan dapat menyerap semula pekerja ini, RM500 juta dapat dijimatkan.
"Mungkin sebahagian wang ini boleh digunakan untuk pentadbiran, belanja operasi, untuk membantu pekerja-pekerja ini mendapat hak lebih baik termasuk KWSP, Skim Insurans Pekerjaan dan lain-lain," katanya.
Terdahulu hari ini, sekumpulan anggota JPKK membuat protes senyap di luar Dewan Rakyat.
Mereka membangkitkan tiga tuntutan terhadap kerajaan, iaitu agar kerajaan menyerap semua pekerja kontrak, memansuhkan orang tengah (kontraktor) dan mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran.
Selain pengawal keselamatan, pekerja pembersihan di sekolah di seluruh negara juga diambil menerusi kontrak dengan syarikat swasta.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, anggota JPKK adalah kumpulan kecil daripada kalangan pekerja informal "paling rentan" yang begitu ramai, dengan jangkaan kira-kira 40 peratus daripada 14 juta tenaga kerja di Malaysia.
Di saat penularan wabak, katanya, pekerja ini - seringkali menerima gaji harian tanpa perlindungan sosial - adalah kalangan yang paling terjejas dengan kehilangan punca pendapatan.
"Jadi antara sumbangan terbesar yang boleh dilakukan adalah dengan menyerap mereka dalam sistem perkhidmatan awam, agar mereka sekurang-kurangnya mendapat gaji minimum," katanya lagi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, dia akan membangkitkan isu peruntukan untuk pekerja kontrak menerusi syarikat swasta ini dalam jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).
Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555304
No comments:
Post a Comment