Sejarah lampau telah merakam bahawasanya para pemimpin politik yang ada pada hari ini datang dari perjuangan yang mereka sendiri mulakan atau yang pernah mereka sertai ketika mereka masih muda lagi.
Mereka tidak menuntut untuk mengisi kesemua kedudukan itu pada waktu dulu. Malah tidak pula merengek-rengek diberi peluang dan meminta-minta diperuntukan ruang untuk ‘berjuang’ – mereka malah mencipta peluang dan ruang tersebut dengan tangan mereka sendiri.
Begitupun, tidaklah saya katakan yang golongan muda sekarang ini tidak berbuat apa-apa untuk menonjolkan perjuangan mereka. Telah begitu banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang wujud berpandu kepada kepercayaan atas apa yang mereka perjuangkan.
Namun jika kita perhatikan dengan lebih mendalam terutama sekali ke medan politik, soalan yang kerap timbul dalam kotak akal ialah; apakah yang sedang dilakukan oleh golongan muda ini? Adakah cukup dengan mengeluarkan kenyataan media mengutuk keras tindakan semborono Kerajaan atas sebarang isu sensasi yang mendada di laman media sosial?
Atau apakah golongan muda ini hanya berminat dengan forum ilmiah berat yang hanya ditekuni para jargoan? Atau mereka rasa sudah memadai dengan hanya buat program online sembang santai yang tidak pernah-pernah sudah? Orang muda harus lebih radikal dan punyai taktikal – melawan kebiasaan. Mereka mesti berani dengan idea untuk mengubah, bukan diubah.
Hari ini, blok pembangkang dilihat tidak tersusun sejak kebelakangan ini. Ini mungkin gara-gara kegagalan menolak Belanjawan 2021 tempoh hari yang kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga dan beberapa kegagalan lain sepanjang proses tersebut.
Walaupun ia adalah kemenangan tipis buat Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipertikai keabsahannya, namun ia masih lagi sebuah kemenangan yang tentunya seronok untuk mereka melompat bersorak. Bak kata orang, kalah tetap kalah biarpun satu undi.
Maka, saya kira sayap-sayap parti politik yang terdiri daripada golongan muda sudah seharusnya mengambil langkah yang lebih berani dengan menonjolkan diri memainkan peranan mereka sekarang. Bukan besok lusa – tetapi sekarang!
Mereka boleh sahaja memperlihatkan kesatuan dengan semua sayap parti blok pembangkang sebagai usaha segera memperbetulkan apa yang telah berlaku. Inilah masanya untuk golongan muda dalam sayap parti politik pembangkang mempertaruhkan apa sahaja idea baharu dan yang lebih segar bagi menyatukan kita semua. Orang muda jangan hanya menunggu pemimpin-pemimpin senior mereka merangka formula untuk mengikat dan memperbaharui kerjasama. Golongan muda-lah yang perlu ketengahkan idea yang mereka ada dan ianya mesti dibuat secara berpasukan.
Golongan muda yang harus mulakan dulu. Tonjolkan teladan dengan aksi, bukan hipokrasi. Jika demo, demolah sekali. Jika bantah, bantahlah sekali. Jika berpayung, berpayunglah sekali. Bina kesatuan, kumpul semua kudrat dan kekuatan yang tersisa.
Jika golongan muda mahu menuntut peluang dan ruang untuk bersuara, merasakan yang mereka mampu mencetus dan menggerakkan idea yang lebih besar dan segar, berkeupayaan memimpin sekarang dan bukan sekadar di masa depan – maka inilah masanya mereka menonjolkan diri. Ya, inilah masanya!
Sumber: https://www.roketkini.com/2020/12/28/politik-malaysia-orang-muda-harus-menonjol-bukan-minta-ditonjolkan/?fbclid=IwAR1x9XyNV09AxLITCvvMDF0q653IZ2w5f5CQhRl7KxXZD2rcEvypGm4Vm94
No comments:
Post a Comment