Monday, 14 December 2020

Adun DAP gesa kerajaan semak semula takrifan kontak rapat Covid-19



Adun Bukit Gasing Rajiv Risyakaran menggesa kementerian kesihatan (KKM) menyemak semula takrifan kontak rapat Covid-19, agar sejajar dengan takrifan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Katanya, usaha itu perlu dilakukan bagi membendung penularan Covid-19 dengan lebih baik.

Menurut Rajiz, KKM menakrifkan kontak rapat sebagai:

  • Pendedahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan, termasuk mereka yang merawat pesakit Covid-19 secara terus, kalangan yang bekerja dengan pekerja kesihatan yang djangkiti, mereka yang mengunjungi pesakit atau tinggal di kawasan tertutup yang sama dengan pesakit.
  • Bekerja bersama dalam jarak dekat atau berkongsi persekitaran bilik yang sama dengan pesakit.
  • Berjalan bersama pesakit Covid-19 tanpa mengira jenis pengangkutan
  • Tinggal di rumah yang sama dengan pesakit Covid-19

“CDC AS menakrifkan kontak rapat adalah 'seseorang yang berada enam kaki dengan pesakit Covid-19 dalam jangka masa 15 minit atau lebih 24 jam', dua hari sebelum dijangkiti (atau bagi pesakit tak bergejala sebelum, ujian saringan dibuat) dan sehingga pesakit dikuarantin.

“Terdapat perbezaan antara dua takrifan tersebut dan takrifan CDC berkenaan mereka yang berdepan risiko terdedah adalah lebih luas .

Ini yang sewajarnya dicontohi KKM dan menakrifkan semula kriteria berkenaan kontak rapat, "katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia turut merujuk kajian berkenaan kes-kes positif yang berlaku di kawasan pusat beli belah One Utama pada awal Oktober lalu.

“Ia bermula dengan pengawal keselamatan warga asing pada 10 Oktober. Setakat 2 Disember, terdapat 238 kes positif dikesan dalam kluster tersebut, dengan kadar positif 23 peratus - ia malah merebak ke Melaka.

“Kebanyakan yang dijangkiti adalah warga tempatan dan dengan hanya melakukan ujian bersasar kepada pekerja asing, KKM terlepas isu yang lebih besar.

"Kita perlu menguji lebih ramai orang dan satu-satunya cara untuk melakukannya adalah menjadikan ujian lebih mudah didapati serta meluaskan takrifan dan skop kontak rapat," katanya lagi.

Uji lebih ramai

Minggu lalu, Rajiv menggesa KKM meningkatkan ujian saringan massa selepas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mewajibkan ujian saringan kepada pekerja asing.

“Untuk minggu ini sahaja, kes kian meningkat secara mendadak selepas lebih banyak ujian saringan pekerja asing dibuat,” katanya, sambil menambah kebanyakan mereka yang dikesan adalah dalam kategori satu (tidak bergejala) atau kategori dua (gejala ringan).

“Jika ujian saringan tidak diwajibkan, kes tersebut tidak dapat dikesan dan penularan akan berterusan,” tambahnya.

Dia turut meluahkan rasa bimbang susulan pelonggaran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang membenarkan perjalanan rentas negeri, yang menurutnya akan meningkatkan risiko penularan.

Dalam pada itu, dia berkata KKM akan dapat menambah sumber jika kementerian itu melibatkan semua kakitangan kesihatan swasta di negara ini untuk melakukan ujian.

“KKM boleh guna ujian Rapid Test Kid (RTK) Antigen terhadap mereka yang termasuk dalam takrifan kontak rapat yang lebih meluas. Ia lebih baik daripada mereka tidak membuat ujian langsung," katanya.

Malaysia setakat ini mencatatkan 83,475 kes positif sejak Covid-19 mula menular. Terdapat 1,229 kes baru yang dilaporkan semalam dengan kebanyakannya di Selangor dan Sabah.

Kuala Lumpur, Johor dan Perak juga mencatatkan kes baru melebihi tiga angka semalam.


Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555097

No comments:

Post a Comment