Tuesday, 29 December 2020

Adun DAP Batu Lanchang mula inisiatif sediakan makanan buat golongan memerlukan

 


Seorang Adun Pulau Pinang memulakan inisiatif komuniti untuk menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan di kawasannya.

Adun Batu Lanchang Ong Ah Teong berkata, menerusi program itu, mereka akan menerima kupon percuma untuk membeli makanan untuk keluarga mereka.

Menyifatkannya sebagai "program seumpama yang pertama di Pulau Pinang dan negara", Ong berkata ia melibatkan kedai makan dan penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan.

"Orang yang datang makan di Kompleks Gerai Makanan Batu Lanchang dapat menyumbang kepada dana yang akan diletakkan di empat kedai kopi di situ.

"Wang tersebut akan digunakan untuk menyediakan kupon makanan di gerai yang terlibat," katanya dalam kenyataan.

Untuk memulakan kempen itu, Ong menyumbang RM300 kepada empat kedai kopi, manakala gerai makan lain masing-masing menerima RM100.

"Setiap kedai kopi terlibat dalam program ini akan menyediakan kupon bernilai RM10 setiap hari selama sebulan. Kupon berharga RM1 dan 50 sen akan diletakkan di depan kedai.

"Mereka yang memerlukan boleh menggunakan kupon ini untuk membeli makanan di mana-mana gerai. Misalnya untuk sepinggan mi berharga RM4, dengan kupon RM1 mereka hanya perlu membayar bakinya," katanya lagi.

Sementara itu, sejumlah 37 gerai akan menyediakan tiga hidangan percuma selama 10 hari, dengan jangkaan 111 makanan percuma sepanjang tempoh itu.

"Orang miskin, berpendapatan rendah dan warga emas boleh mengambil kupon atau makanan percuma," kata Ong, yang berhasrat menambah lagi bilangan kupon makanan jika program itu mencatat kejayaan.

Katanya lagi, tujuan inisiatif itu adalah untuk melibatkan orang awam dalam membantu golongan susah yang berdekatan dengan mereka.

"Setakat ini, inisiatif ini dialu-alukan peniaga di Kompleks Gerai Makanan Batu Lanchang dan mereka sedia untuk melibatkan diri.

"Jika program ini berjaya, saya juga berhasrat melaksanakannya di Pasar Awam Jelutong dan di Jalan Perak agar lebih ramai dapat membantu.

"Pada masa sama, kami di pusat khidmat Batu Lanchang sedia berkongsi idea ini kepada mana-mana pihak yang berminat melaksanakan usaha serupa," kata Ong lagi.

Sumber: https://www.canva.com/?irgwc=1&utm_medium=affiliate&utm_source=Indoleads.&clickId=0khxsawvvxyLWYS0OGSitWCIUkEyztzGaWP53M0

No comments:

Post a Comment