Tuesday 1 December 2020

Cabul peraturan mesyuarat dewan rakyat, jawatan MP Tasek Gelugor wajar digantung



Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa ahli parlimen Tasek Gelugor Shahbudin Yahya digantung jawatan sebagai ahli parlimen.

Ini susulan dia tersilap mengira sokongan undian belah bahagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan semalam.

Katanya, Shahbudin telah mencemarkan nama baik dan memalukan parlimen dan mencabuli peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Shahbudin adalah contoh buruk terkini rejim kakistokrasi, di mana mereka yang tidak berkelayakan menjawat jawatan kepimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sama ada beliau tidak memahami bahasa mudah peraturan mesyuarat, atau beliau cuai dan tidak cermat dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai penghitung undi semasa belah bahagi diadakan, kedua-duanya menimbulkan persoalan terhadap kelayakan beliau untuk menjadi ahli parlimen,” tambahnya.

Hari ini, di Dewan Rakyat, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon memaklumkan jumlah ahli parlimen yang menyokong perbelanjaan dan pengurusan Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa semalam adalah 106 dan bukannya 107 seperti yang diumumkan.

Ini setelah Shahbudin memaklumkan kepada Rashid, dia tersilap menandakan ahli parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz, sebagai bersetuju walaupun ahli parlimen itu tidak hadir.

Shahbudin ketika menjelaskan hal itu, berkata dia tidak berniat menipu Dewan Rakyat, sebaliknya dia tersilap kerana “ada melihat” Padang Rengas beberapa minit undian diadakan, namun menegaskan dia tidak berniat menyembunyikan perkara berkenaan.

“Saya telah memohon maaf kepada speaker. Jadi, terpulang kepada speaker, tapi jangan tuduh saya ada niat untuk menipu dan sebagainya,” katanya.

Memetik peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, kata Lim, dalam undi belah bahagi, tugas penghitung undi adalah bertanya kepada setiap ahli parlimen tentang pihak mana yang hendak diundinya.

Kemudian, undian setiap ahli parlimen dan ahli parlimen mana yang tidak mengundi akan dimasukkan ke dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat oleh setiausaha Dewan Rakyat.

“Mana-mana pelajar sekolah yang mempunyai kecerdasan dan boleh membaca pastinya boleh memahami tanggungjawab yang diberikan kepada penghitung undi. Tetapi, jelas sekali yang Shahbudin tidak memahami tugasnya ini.

“Shahbudin patut digugurkan serta-merta daripada tugas menghitung undi ini dan beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat untuk menggantung kedudukan beliau sebagai seorang ahli parlimen,” tambah ahli parlimen Iskandar Puteri itu lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553325

No comments:

Post a Comment