Tuesday, 29 December 2020

Guan Eng berada di Terminal Feri pada Khamis ini untuk ucap selamat tinggal

 


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan berada di terminal feri Pulau Pinang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pengangkutan itu, pada hari terakhir perkhidmatannya pada Khamis, iaitu 31 Dis ini.

“Saya akan pergi ke sana pada pukul 10 pagi Khamis dengan peringatan bahawa rakyat Malaysia yang menghargai feri Pulau Pinang yang ikonik tidak akan melupakan atau memaafkan mereka yang bertanggungjawab,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim yang juga bekas ketua menteri negeri itu berkata, MCA begitu nekad untuk melihat "matinya" perkhidmatan feri yang disifatkan sebagai ikonik itu.

“MCA mendakwa bahawa keputusan menamatkan feri Pulau Pinang yang ikonik didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik.

“Jelas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sangat emosional dan bermain politik kotor dalam usaha menutup penipuannya, dengan melakukan serangan peribadi terhadap saya kerana menentang penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim merujuk Wee yang berkata dia masih menganggap diri sebagai ketua menteri Pulau Pinang kerana membangkitkan isu tersebut.

“Adakah salah untuk seorang ahli parlimen dan Adun dari Pulau Pinang untuk bersuara bagi pihak rakyat negeri, terutama apabila terminal feri di Seberang Perai terletak di kawasan saya dalam kawasan Parlimen Bagan?” soalnya.

Katanya lagi, Wee gagal membuktikan yang dia atau kerajaan PH telah bersetuju untuk menggantikan feri itu dengan katamaran.

“Diaberusaha mengheret mantan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bahkan adik saya, Senator Lim Hui Ying, yang kononnya setuju terhadap penamatan perkhidmatan feri. Loke dan Hui Ying telah menafikan dengan keras usaha Wee untuk memecahbelahkan pemimpin DAP dengan tuduhan palsu,” katanya lagi.

Lim turut mempersoalkan sama ada Wee menuduh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menipu.

Katanya, Zafrul telah mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan ketika pentabdiran PH telah menetapkan lanjutan perkhidmatan feri itu sebagai syarat geran RM30 juta kepada Pulau Pinang Port Sdn Bhd bagi mengendalikannya.

Tambahnya, kerajaan PH juga tidak pernah membantah penambahan katamaran, dengan syarat feri dikekalkan.

“Dengan kata lain, katamaran akan beroperasi selari dengan feri yang ada seperti yang diamalkan banyak negara seperti Hong Kong dan Kanada - kewujudan bersama warisan dan kemodenan. Adakah begitu mahal untuk mengekalkan dua atau tiga feri untuk terus beroperasi?

“Kami ambil maklum dengan kos dan kesukaran untuk cari alat ganti. Enjin baru boleh dipasang di feri ikonik ini atau pengilangan 3D boleh menghasilkan alat ganti yang tidak lagi dikeluarkan."

Isu feri Pulau Pinang semakin diperkatakan selepas Lim dan Wee kerap bertikam lidah berhubung keputusan kerajaan untuk menghentikan perkhidmatannya.

Perkhidmatan feri dua tingkat yang mengambil masa 20 minit perjalanan akan dihentikan minggu ini dan digantikan dengan katamaran yang lebih kecil yang hanya boleh digunakan untuk pejalan kaki dan penunggang motosikal.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Tan Teik Cheng meluahkan rasa kecewa terhadap Lim yang menggunakan sentiment politik tanpa mengambil kira kehidupan dan keselamatan rakyat di situ.

“Dalam usaha untuk menyembunyikan agenda politik sempitnya, dia gunakan pelbagai taktik seperti membangkitkan 'warisan' Pulau Pinang dan mengeksploitasi 'sejarah' negeri di kalangan penduduk tempatan seolah-olah kerajaan PN menindas orang Pulau Pinang

“Saya sekali lagi menggesa Lim supaya berhenti menggunakan isu ini. Utamakan keselamatan pengguna feri dan jangan eksploitasi warisan Pulau Pinang untuk menghasut rakyat,” katanya yang juga naib presiden MCA dalam kenyataan.

Ironinya, kaanya lagi, Lim tidak berasa apa-apa nostalgia atau kehilangan ketika membenarkan binaan warisan dijual kepada orang asing dan projek tambakan laut ketika masih menjadi ketua menteri.

No comments:

Post a Comment