Sunday 20 December 2020

Terima rasuah sebanyak RM2 juta, Ku Nan disabit bersalah



Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes perbicaraan Ahli Parlimen Putrajaya itu bermula pada 2 Julai tahun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah AKSB, Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lalu.

Tengku Adnan dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong.

Kin Kong, memberikan wang itu melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Sumber: https://malaysiadateline.com/ku-nan-bersalah-terima-rasuah-rm2-juta/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

No comments:

Post a Comment