Saturday 15 August 2020

Pasca debat TH: Melihat tahap pemikiran pendebat


Tahniah diucapkan kepada Sinar Harian kerana berjaya menganjurkan program Berani Bersemuka diantara YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan YB Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bagi merungkai permasalahan yang dihadapi oleh Tabung Haji (TH).

Oleh kerana masih banyak lagi persoalan persoalan yang timbul susulan program ini maka saya terpanggil untuk cuba memberikan pencerahan sebaik mungkin secara bersiri demi membendung budaya membodohkan akal rakyat yang banyak dilakukan oleh ahli-ahli politik.

Ini kerana terdapat beberapa hujah yang diutarakan oleh YB Datuk Seri Abdul Azeez seolah olah ingin memperbodohkan akal rakyat persis seperti hujah yang diberikan Najib Razak dalam kes SRC, 1MDB dan lain lain.

YB Datuk Seri Abdul Azeez mempersoalkan bagaimana syarikat yang bermodal RM1 boleh membeli aset aset TH dengan harga RM19.9 bilion. Buat pengetahuan YB dan para pembaca, hampir kesemua syarikat kecil, sederhana, besar, public-listed dan lain lain berniaga dengan jumlah wang yang melebihi daripada modal berbayar mereka.

Ini merupakan perkara asas dalam ilmu perakaunan dan perniagaan dan agak memalukan jika dipersoalkan oleh seseorang yang cendiakawan. Menjadi kebiasaan bagi sesebuah syarikat untuk mempunyai beberapa jenis tanggungan (liability) termasuk pinjaman bank (loan), pemuitang (creditors) dan lain lain untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Situasi yang sama juga berlaku terhadap 1MDB dimana modal berbayar 1MDB hanyalah berjumlah RM1 juta, manakala aset-aset yang telah beli atau yang dilaburkan oleh 1MDB berjumlah berbilion ringgit.

Perkara yang sama juga berlaku terhadap SRC International Sdn Bhd (SRC) dimana berdasarkan laporan kewangan berakhir 31 Mac 2014, modal berbayar SRC hanyalah RM1 juta, manakala jumlah aset yang dibeli atau dilaburkan jauh lebih tinggi daripada jumlah modal berbayar iaitu RM3.9 bilion. Maka mengapa beliau cuba mempersoalkan isu ini?

Jika benar beliau ingin mempersoalkan bagaimana syarikat boleh membeli aset atau melabur dengan jumlah wang yang melebihi modal berbayar, beliau harus bersungguh-sungguh mempersoalkan apa yang telah lebih awal berlaku dalam kes 1MDB dan SRC.

Malah situasi dalam kes SRC lebih parah dimana SRC merekodkan jumlah hutang lebih tinggi berbanding aset atau dipanggil sebagai net liabilities sebanyak RM78 juta pada tahun 2012 dan masih lagi mencatatkan net liabilities pada tahun 2014 dengan jumlah RM55.7 juta.

YB Datuk Seri Abdul Azeez juga cuba menjustifikasikan bahawa TH berada dalam keadaan baik semasa beliau menjadi pengerusi TH berdasarkan rekod keuntungan yang dicatatkan dalam laporan kewangan yang telah diaudit.

Namun faktor keuntungan (profitability) sesuatu syarikat hanyalah salah satu kayu pengukur kepada kejayaan sesebuah syarikat atau mana-mana institusi. Berulang kali YB Datuk Seri Mujahid cuba menerangkan bahawa tahap kesihatan kewangan TH itu perlu dilihat dan dijaga.

Apa yang dimaksudkan oleh kesihatan kewangan TH adalah berkaitan dengan angka yang berada dalam penyata kedudukan kewangan (balance sheet) yang mana YB Datuk Seri Abdul Azeez gagal memberikan gambaran yang jelas.

Jika dilihat kepada nisbah pulangan keuntungan ke atas aset (return on asset) TH pada tahun 2008 adalah 5.3% namun telah menjunam jatuh kepada hanya 2.6% pada tahun 2017. Ini jelas membuktikan pengurusan TH di era kerajaan BN gagal menjana keuntungan yang baik.

Ini belum lagi diambil kira faktor creative accounting atau juga dipanggil sebagai manipulasi keuntungan (earnings manipulation) sepertimana yang telah dijelaskan oleh YB Datuk Seri Mujahid. Jika diambil kira faktor ini sememangnya kedudakan kewangan TH amat parah.

Saya akan huraikan dengan lebih terperinci berkenaan kedudukan kewangan TH yang tidak sihat dan juga manipulasi kewangan TH dalam tulisan yang akan datang.

Saya memohon semua ahli-ahli politik tanah air untuk menghentikan budaya memperbodohkan akal rakyat.

No comments:

Post a Comment