Monday 17 August 2020

PRK Slim : Tun M dan PH kempen habis-habisan lawan BN

 

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun membantu kempen calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini.

Menurut Amir Khusyairi, tarikh yang tepat untuk kehadiran bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun belum dapat diputuskan.

“Tun M sangat berminat untuk hadir (kempen), tetapi (tarikh) belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya kehadiran bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada hari ketiga kempen di sini hari ini.

Beliau berkata, kempen yang digerakkannya mendapat kerjasama penuh pemimpin tempatan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Saya sudah bertemu dengan pemimpin tempatan terutama daripada parti-parti PH, mereka telah menzahirkan sokongan kepada saya untuk berkempen sehabis mungkin.

“Ingat pada Khamis minggu lalu, ketika pengumuman calon, hampir kesemua wakil-wakil parti komponen menyatakan sokongan dan sanggup berkempen habis-habisan bersama saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyatakan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu rakyat terutama perkampungan orang asli di kawasan DUN Slim ini.

Menurutnya, isu membabitkan infrastruktur termasuk kemudahan elektrik dan bekalan air bersih melibatkan empat kampung itu antara fokus yang perlu diketengahkan sekiranya beliau dipilih nanti.

Katanya, PRK DUN Slim ini antara platform terbaik untuk membawa isu rakyat berikutan mendapat liputan meluas di seluruh negara.


No comments:

Post a Comment