Thursday, 13 August 2020

Ketua Pembangkang zaman PN tidak dilayan seperti zaman PH

 



Kerajaan Perak didesak untuk menjelaskan sama ada kemudahan untuk ketua pembangkang dikekalkan seperti sebelum ini atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini, ketua pembangkang diberikan kemudahan seperti kenderaan, bilik dan pembantu namun selepas kerajaan bertukar kemudahan tersebut tidak lagi diterima.

Menurutnya, status kemudahan untuk ketua pembangkang itu tidak langsung dimaklumkan kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan peranan institusi pembangkang di negeri ini.

“Saya nak tahu sama ada kemudahan ini masih ada atau dah dimansuhkan. PH sebelum ini komited untuk memastikan ketua pembangkang diberi pengiktirafan dalam membantu kerajaan bagi semak dan imbang.

“Bukan saya nak pakai kereta Lexus pun. Cukuplah kenderaan biasa untuk saya bergerak sebagai ketua pembangkang melihat pelbagai masalah dihadapi rakyat sebab kita mana ada peruntukan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat seperti mahu kembali kepada perangai lama kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mengiktiraf ketua pembangkang.

Katanya, bukan sahaja dalam isu kemudahan untuk ketua pembangkang tetapi dalam pentadbiran juga banyak program-program dianjurkan oleh kerajaan negeri tidak dijemput wakil rakyat pembangkang.

“Ini berbeza dengan waktu PH dahulu. Ketika saya menjadi Exco Kerajaan Perak, apabila saya turun meninjau beberapa isu di sesuatu kawasan, saya jemput wakil rakyat di situ walaupun pembangkang.

“Walaupun mereka bukan dalam kerajaan tetapi rakyat memilih mereka di kawasan tersebut sebagai wakil di DUN dan mereka berhak tahu isu-isu di kawasan,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, perkara itu sesuatu yang tidak sihat untuk demokrasi dan kerajaan negeri perlu memperbetulkan keadaan tersebut.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kemudahan yang diberikan kepada ketua pembangkang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika kerajaan terdahulu dan bukan bidang kuasa Dewan Negeri Perak.

Bagaimanapun katanya, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan sudah membincangkan mengenai jawatan Ketua Pembangkang DUN Perak dan kemudahan-kemudahan diberikan kepada individu yang dilantik ke jawatan itu.

No comments:

Post a Comment