Friday 14 August 2020

PRN Sabah: Pembahagian kerusi PH dijangka selesai minggu depan


Perbincangan mengenai pembahagian kerusi komponen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Sabah dijangka selesai minggu depan.

Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew (gambar) berkata, sebaik perbincangan selesai, pihaknya akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk tindakan selanjutnya nanti.

Jelasnya, pertemuan bagi membincangkan kerusi berkenaan telah dibuat sebanyak dua kali dan mereka bersetuju untuk membuat pertemuan terakhir untuk konsensus supaya memastikan tiada pertindihan berlaku antara rakan gabungan.

“Mengenai cadangan Parti AMANAH Negara supaya semua pihak yang bersekutu dengan Parti Warisan Sabah bertanding di bawah logo Warisan pada pilihan raya akan datang, ia belum diputuskan lagi setakat ini.

“Ini kerana, saya dimaklumkan bahawa AMANAH telah bersetuju mengenai penggunaan logo itu dan hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) belum memberi kata putus,” tegas beliau.

Christina turut menyatakan bahawa Shafie telah memberi isyarat bahawa beliau menyerahkannya kepada setiap pihak untuk memutuskan hal tersebut.

Tambahnya lagi, bagi pemilihan calon PKR Sabah, pejabat parti berkenaan bersetuju memberi otonomi kepada mereka untuk memilih calon dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi kelak.

Mengenai persiapan, Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah menegaskan, partinya kini mula menyiapkan jentera kempen terutamanya dengan keadaan masa yang singkat dan cabaran COVID-19 telah menyekat pergerakan mereka termasuk halangan mengadakan ceramah.

“Saya yakin, segala persiapan yang diatur akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 ini,” ujarnya yang juga merupakan penyandang DUN Api-Api.

No comments:

Post a Comment