Tuesday, 11 August 2020

Jangan kerana dendam politik, isteri Guan eng jadi mangsa





Oleh Syerleena Abdul Rashid

(Adun Seri Delima, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang dan Ahli Jawatankausa Wanita DAP Kebangsaan)

Semalam, mantan Perdana Menteri Najib Razak melalui laman Facebook telah menimbulkan beberapa soalan mengenai kes Betty Chew iaitu isteri kepada Lim Guan Eng, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Najib mempersoalkan pendapatan yang diterima oleh Betty seolah-olah telah berlaku salah laku. Tuduhan sedemikian rupa terhadap Betty adalah tidak berasas sama sekali kerana fakta-fakta kes ini jauh berlainan dengan kes-kes lain yang dikaitkan dengan Najib dan ahli-ahli keluarganya.

Yang pertamanya, Betty adalah seorang peguam bertauliah dan berhak untuk menawarkan perkhidmatannya dalam kapasiti tersebut. Justeru, pendapatan yang diterimanya adalah bayaran sebagai perunding perundangan. Lebih penting lagi, pendapatan yang diterimanya telah direkodkan dan telahpun dibayar cukai.

Dalam erti kata lain, pendapatan Betty adalah pendapatan halal dan bukannya sebarang transaksi gelap yang disembunyikan. Ini amat berbeza sekali dengan kes Najib yang telah pun disabitkan kesalahannya dan dihukum dengan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Keduanya, syarikat-syarikat yang terlibat, sama ada Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd ataupun Magnificent Emblem Sdn Bhd, tidak pun berjaya memenangi tender. Syarikat lain yang telah dianugerahkan projek tersebut. Dalam erti kata lain, tiada langsung unsur you help me, I help you ataupun rasuah yang terlibat.

Najib tidak perlu menjaga tepi kain orang, lagi-lagilah memangsakan individu yang tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan. Jelas, tindak-tanduk Najib ini hanyalah kerana dendam politik semata-mata.

Sebaliknya Najib harus menjelaskan mengenai kerugian berbilion-bilion ringgit wang rakyat Malaysia melalui 1MDB. Malah, pihak pendakwa raya baru sahaja memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta yang telah dikenakan terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd. Begitu teruknya kesalahan yang dilakukan oleh Najib sehingga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta didapati tidak mencukupi oleh pihak pendakwaan. — Roketkini.com

 

No comments:

Post a Comment