Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mencabar penggantinya supaya turut menyenaraikan semua projek kerajaan yang dianugerahkan melalui proses rundingan terus semasa era pentadbiran BN dan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.
Ini susulan selepas Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan senarai 101 projek tender secara langsung bernilai RM6.61 bilion yang menurutnya diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan, dengan Lim sebagai menteri kewangan yang bertanggungjawab.
Lim semalam memberi butiran bagi membuktikan senarai yang dikeluarkan oleh Zafrul itu tidak berasas dan hari ini mendesak senator tersebut supaya tidak pilih kasih dengan hanya mendedahkan projek-projek semasa pentadbiran PH.
Dia juga membidas SPRM, yang menurutnya hanya ingin meneliti projek yang diluluskan oleh PH.
“Zafrul harus dedar projek rundingan terus zaman BN dan penting sekali yang dilulus beliau sendiri dalam PN.
“Buktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan beliau sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat nilai sendiri.
“Jangan ada double standard seperti SPRM yang hanya berhasrat mengkaji projek rundingan terus PH tetapi bukan BN atau PN. Biar fakta berbicara sendiri,” kata Lim pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pagi ini.
Menurut Lim semasa PH menjadi kerajaan, pengagihan projek melalui rundingan terus hanya merangkumi 0.07 peratus daripada keseluruhan tender dikeluarkan.
Pada masa sama dia meragui hal sebegitu berlaku sewaktu BN atau PN berkuasa.
No comments:
Post a Comment