Friday 21 August 2020

Langgar SOP: PAS, hentikan membohongi rakyat.


Akhbar lidah rasmi Pas, Harakah menyiarkan kenyataan membela Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Khairuddin at-Takiri berikutan kegagalan beliau untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Ketua DAPSY Batu Pahat, Shazwan Zdainal Abidin, kenyataan tersebut seolah-olah menyatakan bahawa Khairuddin tidak perlu menjalani prosedur kuarantin 14 hari kerana Perintah kuarantin wajib hanya berkuatkuasa bermula 24 Julai.

“Saya tak pasti, sama ada Khairuddin sendiri keliru dengan arahan kerajaan, ataupun kenyataan Harakah tersebut adalah cubaan untuk memperbodohkan rakyat.

“Sejurus tiba di pintu masuk sempadan negara, perlu menjalani saringan Covid-19. Sekiranya positif akan terus dihantar ke hospital, dan bagi yang negatif boleh kuarantin wajib di kediaman masing-masing selama 14 hari,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Ini yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Jun lalu, dan ia tertakluk kepada semua tidak kira Menteri mahupun rakyat, sehingga arahan baru dikeluarkan pada 24 Julai.

Katanya, jika benar dakwaan Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai, dan menghadiri Dewan Rakyat pada 13 Julai, ternyata Khairuddin telah melanggar Perintah kuarantin tersebut.

Malah, katanya, Khairuddin telah merisikokan rakyat dengan menghadiri beberapa acara umum di dalam tempoh beliau sepatutnya menjalani kuarantin.

“Walaupun Khairuddin dikatakan telah menjalani ujian sebanyak 3 kali, dan keputusan ujian tersebut adalah negatif, beliau tetap perlu menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh 14 hari.

“Khairuddin turut dikatakan tidak memakai gelang berwarna “Pink” yang sepatutnya dipakai oleh mana-mana individu yang pulang dari luar negara.

“Kita tahu, terdapat beberapa perintah atau arahan yang agak mengelirukan dari kerajaan sejak PKP dilaksanakan.

“Tetapi sebagai Menteri, beliau tidak patut keliru dan jika beliau keliru, apatah lagi rakyat?” soalnya.

Justeru katanya, malang rakyat yang keliru terus dikenakan tindakan, manakala Khairuddin sehingga kini tidak dikenakan sebarang tindakan.

Malah, katanya, Khairuddin sehingga kini kekal sombong, tidak mengakui kesalahannya, manakala segelintir pengikutnya terus mencuba pertahankan tindakan beliau, umpama menegakkan benang yang basah.

“Mungkin telah tiba masanya, Mufti yang lantang seperti MAZA, perlu mengeluarkan fatwa yang bersesuaian situasi Covid-19 seperti, “Dosa jika tidak menjalani kuarantin 14 hari”, untuk menyedarkan Khairuddin dan pengikut PAS yang lain,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment