Menurut garis panduan Kementerian Kewangan yang masih digunapakai masa kini, perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara boleh dibuat melalui rundingan terus.
Hakikatnya, Pakatan Harapan (PH) hanya meluluskan 1.4 peratus daripada keseluruhan nilai perolehan selama dua tahun melalui rundingan terus.
Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet juga boleh memutuskan rundingan terus, satu perkara yang nampaknya semua Menteri-menteri ‘Pengkhianat’ sekarang sudah lupa.
Beliau menegaskan, Kementerian Kewangan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH.
Menurutnya, ia menyatakan dalam Janji 23, ‘Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar’.
“Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu turut menyenaraikan 12 projek rundingan terus Barisan Nasional (BN) sekitar 2013 hingga 2018 yang mencecah RM139.3 bilion.
“Itu pun belum lagi senarai penuh,” katanya.
Guan Eng berkata, nilai projek rundingan terus Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz belum diketahui lagi.
Jelasnya, Tengku Zafrul harus mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran BN, PH dan PN.
“Jangan fitnah. Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Jangan cuba mencipta persepsi untuk mengalih perhatian daripada kepincangan dalam PN,” katanya. — Roketkini.com
No comments:
Post a Comment