Friday 21 August 2020

Lim Guan Eng akan saman timbalan speaker Melaka berhubung catatan FB


PETALING JAYA: Lim Guan Eng mengeluarkan surat tuntutan kepada Timbalan Speaker Melaka, Ghazale Muhamad berhubung catatan Facebook yang mendakwa beliau melantik sepasukan pegawai khas selepas menjadi menteri kewangan.

Dalam catatan 11 Ogos itu, Ghazale mendakwa Lim melantik 30 pegawai yang terdiri daripada belia Cina berusia 20 hingga 30 tahun dengan bayaran RM8,000 hingga RM15,000 sebulan.

Beliau juga mendakwa pasukan itu diketuai Tony Pua, setiausaha politik Lim ketika itu.

“Tujuannya untuk mendedahkan kes melibatkan orang Umno, menguruskan aset di bawah Kementerian Kewangan dan ‘membantu’ Lim Guan Eng menyiapkan laporan Belanjawan yang memihak kepada kaumnya.”

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang mengumumkan langkah Lim dalam kenyataan hari ini, berkata dakwaan Ghazale “sama sekali palsu dan fitnah”.

“Ia sekadar cubaan biasa untuk menggambarkan Lim Guan Eng dan DAP sebagai penjahat.”

Beliau turut mendapati satu kes sebelum ini di mana Ghazale, Adun Rim, mendakwa bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching menggesa kelulusan kewarganegaraan untuk kanak-kanak dari negara lain bagi mengimbangi jumlah Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

Ghazale kemudiannya memadam hantaran itu dan memohon maaf kepada Teo.

Mendakwa Ghazale menjaja berita palsu, Khoo berkata, tindakan itu tidak boleh diterima bagi timbalan speaker DUN.

Beliau juga mendesak Ghazale menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Lim.

No comments:

Post a Comment