Wednesday 26 August 2020

Pemimpin Pas langgar perintah kuarantin, Umno pula langgar peraturan jalan raya - Anthony Loke Siew Fook

 

Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook hari ini berkata beliau mempunyai gambar pemimpin Umno termasuk bekas perdana menteri Najib Razak menunggang motosikal tanpa topi keledar.

Katanya, Najib memakai songkok bukannya topi keledar ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

“Sebagai bekas perdana menteri, dia boleh berkempen, tiada masalah tapi pakailah topi keledar. Saya bimbang nanti dia jatuh dan kemalangan,” katanya di Dewan Rakyat ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, bertujuan untuk mengurangkan kes pemanduan secara melulu dalam kalangan rakyat.

Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mempertahankan Najib dengan mengatakan ketika itu Najib hanya mahu pergi ke masjid berhampiran.

“Jangan jadikan itu sebagai isu. Saya ada di situlah, mahu pergi solat Jumaat, dekat sahaja,” kata Azeez.

Loke, yang menunjukkan beberapa gambar sebagai bukti, turut mendakwa Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dan Annuar Musa (BN-Ketereh) turut menunggang motosikal tanpa topi keledar.

“Saya mahu beritahu gambar ini akan dihantar kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya sarankan penguatkuasa JPJ hantar saman kepada orang-orang ini. Jangan bagi muka,” katanya sambil menambah mereka tidak perlu bimbang kesannya kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah memaklumkan tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang.

Loke juga menggesa kerajaan memastikan undang-undang diusulkan dalam RUU itu dikuatkuasakan dengan adil kepada semua rakyat, termasuk menteri dan ahli Parlimen.

No comments:

Post a Comment