Saturday 15 August 2020

Shazni: Apa yang diperlukan PH adalah 'gabungan besar' yang kuat

 

Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk parti baru Dr Mahathir Mohamad, harus dibincang secara mendalam di kalangan parti komponen terlebih dahulu, kata Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin.

Shazni berkata demikian ketika mengulas kenyataan empat ketua Pemuda Amanah kawasan yang menggesa parti itu untuk mewujudkan pakatan dengan parti baru Mahathir, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dia berkata, apa yang diperlukan ialah sebuah "gabungan besar" yang kuat dan mampu mewujudkan kerajaan yang stabil jika PH berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan.

"Pemuda Amanah menghargai pandangan mereka. Walaupun masih terlalu awal untuk dikemukakan, ia tidak bertentangan dengan hasrat kami untuk meluaskan kerjasama dengan semua pihak yang mempunyai matlamat sama - mengambil alih Putrajaya daripada pengkhianat.

"Namun formula dan terma kerjasama itu haruslah dibincangkan secara tuntas dengan rakan-rakan komponen," katanya dalam kenyataan.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, empat ketua pemuda Amanah kawasan itu berkata cadangan itu sejajar dengan usaha "menegakkan kembali mandat rakyat dan sistem demokrasi negara tanpa dibelenggu oleh penangguhan tidak berkesudahan daripada individu yang mempunyai kepentingan politik peribadi".

"Kepimpinan Amanah harus fokus kepada perjuangan menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terus diterajui oleh kerajaan pengkhianat yang sanggup menggadaikan integriti dan menyokong kleptokrat demi imbuhan jawatan dan kuasa," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh oleh ketua pemuda kawasan Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli, Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak), Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Bukit Bintang) dan Anhdeer Supardy (Batu).

Shazni berkata lagi, jika PH berjaya kembali menjadi kerajaan, ia bukan saja perlu fokus kepada dasar yang membantu rakyat, tetapi juga menyelamatkan wang negara daripada terus dirompak oleh "penyamun yang telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah".

Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, ia jelas merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan melibatkan kes dana RM42 juta SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu.

Najib kini dalam proses rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Pada masa sama, kita juga menyeru seluruh anggota Parlimen PH dan yang lain untuk dengan jelas menolak kerajaan pengkhianat di Parlimen. Sebarang perbincangan atau kerjasama untuk mengukuhkan kerajaan itu adalah pengkhianatan kepada mandat rakyat," kata Shazni lagi.

Terdahulu, usaha PH untuk merampas kembali kerajaan persekutuan menemui jalan buntu selepas Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim gagal mencapai kata sepakat berhubung soal calon perdana menteri.

Cadangan agar Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri juga nampaknya gagal memecahkan kebuntuan itu.

No comments:

Post a Comment