Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak malam tadi menyaksikan sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH) dan semua parti pembangkang kembali ke meja rundingan dan memperkukuhkan kekuatan.
Jumlah undi 2,115 yang diperolehi calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi agak signifikan jika diukur kekuatan jentera calon bebas berbanding jentera BN.
Slim adalah kawasan majoriti 75 peratus Melayu Melayu. Undi yang diperolehi Amir Khusyairi menunjukkan pengaruh Tun Mahathir masih relevan dalam kalangan Melayu terutama di luar bandar.
Dalam keadaan di mana pembangkang melawan kerajaan Melayu Islam di Slim, tidak dinafikan demografi Slim memberikan kelebihan kepada BN.
Namun, undi atas premis perkauman ini tidak semestinya kekal lama jika isu ekonomi mula menjadi isu utama rakyat terutama pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas rakyat berhadapan kesan pandemik Covid-19 kelak.
Oleh sebab itu, penyatuan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Tun M serta semua parti pembangkang akan membangkitkan gelombang baru di kalangan rakyat.
Biasanya, rakyat tertarik dengan gelombang baru dan sebab itu sejarah pilihan raya lalu menyaksikan undi diperolehi pembangkang meningkat setiap kali wujud gelombang baru seperti gelombang reformasi tahun 98 dan gelombang kerjasama PH dan Tun M PRU lepas.
MN atau PN adalah gabungan baru yang mungkin menjadi daya tarikan baru rakyat. Oleh itu, tidak mustahil kerjasama erat DSAI dan Tun M akan mewujudkan gelombang baru yang boleh menarik sokongan rakyat pelbagai kaum dan segmen kerana masing-masing mempunyai kekuatan masing-masing.
Dalam politik, mengurangkan musuh dan meramaikan kawan adalah penting, selain prinsip musuh kepada musuh adalah kawan.
Justeru, PH dan pasukan Tun M dengan kekuatan parti baru Pejuang mempunyai musuh politik yang sama iaitu PN, dan seharusnya kerjasama dimulakan dan diperkukuhkan kerana inilah ramuan kemenangan PH pru lepas.
No comments:
Post a Comment