Thursday, 13 August 2020

Siapakah yang boleh menyelamatkan Malaysia?


Dalam seratus hari pertama Pakatan Harapan pada tahun 2018, tidak ada sebarang perkara yang dibuatnya dilihat salah. Selepas itu, segala perkara yang dibuatnya pula dilihat sebagai salah.

Mengapa?

Terdapat beberapa sebab.

Pertamanya ialah euforia dan harapan yang amat tinggi sejurus selepas kemenangan dalam pilihan raya umum yang pertama dalam sejarah negara, walaupun beberapa kesilapan yang amat besar telah dilakukan oleh Pakatan Harapan dalam tempoh beberapa bulan tersebut.

Saya tidak pernah menjangkakan yang Pakatan Harapan akan berjaya untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018.

Tetapi, benih-benih kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan telah pun ditanam seawal seratus sehari pertama pentadbiran kerajaan baharu ini.

Satu kesilapan besar terawal yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan adalah keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) tanpa mempersiap-sediakan rakyat untuk menerimanya.

Perkara ini datang sebagai kejutan kepada para pemimpin DAP dan saya apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan di dalam ucapan beliau di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi semua konvensyen-konvesyen utama PBB yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Perkara ini kemudiannya disusuli dengan pengumuman yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi ICERD menjelang suku pertama tahun 2019.

Perkara ini telah memberikan peluru kepada pimpinan Umno dan Pas untuk melancarkan serangan dengan memainkan isu keagamaan dan perkauman, yang kononnya perkara ini bertentangan dengan perlembagaan negara, kononnya perkara ini akan menghakis keistimewaan orang Melayu, dan menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, langsung mencipta satu ilusi yang kononnya terdapat pergolakan perkauman dan keagamaan dalam negara.

Presiden Pas semasa itu mendakwa yang rancangan untuk meratifikasi konvensyen ini tidak diasaskan kepada lunas agama dan kemanusiaan dan menggesa rakyat untuk tidak terpengaruh dengan negara barat yang telah mengabaikan “agama dan etika sebenar kemanusiaan”.

Tidak ada sekelumit pun kebenaran dalam semua penipuan dan penyelewengan ini.

Sejumlah 179 buah negara, yang merangkumi hampir 99% populasi 1.8 bilion orang Islam di seluruh dunia telah pun meratifikasi ICERD — termasuklah 55 daripada 57 negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam setengah abad yang lepas, tidak ada satu pun komuniti mahupun agama yang telah terjejas akibat ratifikasi ICERD.

Selain daripada Malaysia dan Brunei, 36 daripada 38 negara dengan sistem beraja telah pun meratifikasi ICERD, dan tidak ada satu pun daripada 36 negara ini telah menghapuskan sistem berajanya akibat proses ratifikasi ICERD. Di antara negara-negara ini adalah; United Kingdom, Thailand, Arab Saudi, Jordan, Jepun, Belanda, Norway, Denmark, dan Sweden.

Jika ICERD ini merupakan satu ancaman yang amat teruk terhadap kepentingan orang Melayu, agama Islam, dan Raja-raja Melayu, para pemimpin DAP semestinya tidak akan menyokongnya, malah, semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, mahupun kawasan akan membantahnya.

Namun, pengamal politik toksik yang mempergunakan penipuan, fitnah, dan isu-isu perkauman serta keagamaan secara berterusan cuba untuk menghasut emosi, sehinggakan mereka memberikan amaran yang orang Melayu mungkin akan mengamuk dan “rindu 13 Mei”.

Saya berani mengatakan yang selepas enam dekad berlakunya peristiwa gelap 13 Mei 1969, tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang mahu negara ini meratifikasikan ICERD jika harganya adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei.

Tetapi, pusingan-U kerajaan mengenai keputusan ratifikasi ini datang terlalu lewat dan langsung tidak efektif untuk menenangkan ribut perkauman dan keagamaan yang diwujudkan untuk menguatkan sokongan kepada UMNO dan PAS dalam kalangan orang Melayu dan Islam — yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Dua perkara yang paling ironi dalam kesemua kejadian ini adalah:

(i) arkitek utama kekecohan isu ICERD kini menjawat jawatan menteri utama di dalam kerajaan yang dibentuk selepas pengkhianatan pintu belakang Langkah Sheraton; dan

(ii) DAP dipersalahkan kerana mendesak kerajaan meratifikasi ICERD, sedangkan pada hakikatnya para menteri dan pimpinan DAP tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

Kemudiannya, kita menyaksikan pemergian tragis petugas bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semasa Rusuhan Kuil Seafield pada 26 November 2018, yang kemudiannya dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang sedang mencuba untuk menyebabkan kekecohan dalam negara dengan menggunakan penipuan, fitnah, dan menyebarkan ketakutan menggunakan isu-isu perkauman dan keagamaan.

Selebihnya tinggal sejarah.

Persoalannya, bolehkah Malaysia diselamatkan?

Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah menuntut sebuah Malaysia Baharu yang bersatu padu, demokratik, adil, progresif, dan makmur. Sebuah negara bertaraf dunia yang berjaya menggembeleng semua nilai-nilai murni daripada kepelbagaian kaum, bahasa dan budaya yang bertemu di dalam negara ini untuk mendapatkan perhormatan daripada seluruh dunia sebagai sebuah negara yang berjaya dan mendahului dunia dengan perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, bukannya dipandang hina sebagai sebuah kleptokrasi global dan sebuah kakistokrasi yang sedang menjunam ke arah masa depan sebuah negara yang gagal.

Adakah impian Malaysia Baharu ini telah hilang buat selama-lamanya?

Adakah negara kita telah disumpah untuk kekal sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal?

Inilah persoalan yang perlu difikirkan dan dijawab oleh semua rakyat Malaysia.

 

No comments:

Post a Comment