Saturday, 29 August 2020

Fokus kembalikan mandat, jangan sampai terlupa pada rakyat

 


Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh mengingatkan agar Pakatan Harapan (PH) tidak mengabaikan rakyat dalam usaha untuk mengembalikan semula mandat dan pilihan rakyat.

Beliau menganggap apa yang paling penting ketika ini bagi PH adalah untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga.

Biarpun begitu menurutnya, perancangan mengambil semula kuasa Persekutuan perlu berjalan seiring dengan kebajikan rakyat yang semakin merundum di tengah pandemik Covid-19.

“Kita tak nafikan ada kemungkinan kita akan ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, jadi kita buat juga persiapan. Kita tak menolak usaha mengembalikan mandat rakyat.

“Tapi fokus kita mesti membela nasib rakyat dan jadi juru bicara isu masalah mereka. Jangan hari-hari bercakap nak kembalikan mnadat rakyat sehingga kita lupa tentang rakyat itu sendiri.

“Jadi pendekatan kita mesti multi dimensi agar hati tak lari dari membela rakyat,” katanya dalam sesi wawancara khas bersama Malaysia Dateline.

PH kukuh, rai kesepakatan dalam kepelbagaian

Sementara itu, Fuziah menganggap Pakatan Harapan (PH) masih kukuh biarpun ketika ini Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk membangunkan partinya sendiri iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Menurutnya, apa yang penting adalah kesepakatan antara parti untuk berjuang menentang parti kleptokrat.

Ujarnya lagi, dengan pengumuman bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan partinya sendiri, ianya sama sekali tidak menjejaskan oleh kerana kesepakatan dalam kepelbagaian yang diamalkan.

Bahkan katanya, ketika ini PH masih mendapat angka ‘solid’ di dalam Parlimen melalui beberapa siri undian yang dibuat di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Saya lihat ini sebagai kesepakatan dalam kepelbagaian.

Kalau tengok waktu kita undi, kita solid dari segi jumlah iaitu 109.

“Kita sepakat menentang kleptokrat. Menentang kerajaan yang sepatutnya tidak berada di situ dan tidak mendapat mandat rakyat. Kerajaan yang bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah.

“Kita sepakat. Jadi kita rasa kita raikan kepelbagaian selagi mana kita bersetuju untuk menentang korupsi,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment