Sunday, 23 August 2020

PH gagal 22 bulan? Azminlah antara menteri masa tu – Mat Sabu

 

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan bekas sekutunya, Mohamed Azmin Ali memalukan diri sendiri apabila mengkritik kerajaan terdahulu yang beliau sendiri sebahagian anggota Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, tuduhan Azmin yang kerajaan PH gagal selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan tidak lebih daripada mengakui kelemahan sendiri.

“Azmin datang ke Slim dia maki kerajaan PH kerana gagal, dialah sebab dia jadi menteri 22 bulan.

“Malu hadirin sekalian, kita datang maki bapa kita, malu ke tidak, dia 22 bulan jadi menteri dia datang maki kerajaan dulu,” katanya ketika ceramah perdana PH membantu kempen calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi malam tadi.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas kenyataan Azmin yang meminta pengundi Slim jangan menyokong PH tetapi menyokong Perikatan Nasional (PN).

Azmin berkata, rakyat sudah memberi peluang kepada PH untuk memerintah kerajaan persekutuan dan negeri selama 22 bulan, tetapi PH gagal kerana tidak mampu membela rakyat.

Katanya, jika wabak Covid-19 berlaku pada zaman pemerintahan PH, mungkin lebih ramai rakyat menderita bukan kerana wabak itu, tetapi disebabkan kerajaan PH.

“Ketika zaman PH, minta wang tiada…semua tiada, tetapi kita tengok hari ini dalam pentadbiran kerajaan PN masalah itu tidak timbul demi membantu semua rakyat di negara ini.

“Kita memberi peruntukan bukan disebabkan pilihan raya, menteri besar bukan kerja setakat jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja, tetapi menteri besar Perak bekerja 24 jam untuk rakyat,” kata Azmin ketika melawat bilik gerakan MIC pusat daerah mengundi (PDM) Ladang Sungkai dekat Kampung Hendra, Sungkai pagi tadi.

Menerusi ceramahnya, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata kerajaan PN perlu ditolak rakyat kerana tidak mempunyai manifesto dan berada dalam keadaan cacamarba berbanding PH yang kemas dengan tawaran manifesto.

“Mereka tidak ada manifesto, Umno dengan cara dia, PAS dengan cara PAS, sekarang bila jadi kerajaan mereka tidak peduli soal RUU355, soal LGBT, dia tak peduli apa dah, tidak ada prinsip, keadaan PAS sekarang berbeza, saya lama dalam PAS, saya tidak pernah bermimpi PAS jadi macam sekarang, hilang prinsip.

“Umno saya hormat sebab dia kekal cara dia, MCA kekal cara dia, PAS kita tak tahu hilang pegangan bila jadi kerajaan, dulu mereka kata kita menentang Umno bukan kerana dia Umno, sekarang Umno sahabat kita.

“MCA dengan cara dia, PAS dengan caranya, MIC dengan cara dia, PPBM dengan cara dia, mereka tidak ada manifesto, menteri itu begini, menteri ini begini. Kita PH ada manifesto, dulu tidak setuju Dr Mahathir Mohamad jadi menteri, kita tidak mahu ulang macam zaman dulu (BN), dia (Mahathir) hanya perlu jadi PM,” katanya.

Beliau turut menyeru pengundi menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim sebagai medan mengembalikan hak demokrasi negara selepas tindakan PN merampas kerajaan daripada PH.

“Malaysia ini pelik, yang menang jadi pembangkang yang kalah jadi kerajaan, jadi PRK Slim ini kita perlu kembalikan hak demokrasi, kita bermula di sini,” katanya.

Ibarat sokong Najib

Sementara itu, ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir menyeru pengundi Slim menolak calon BN kerana menganggap jika parti itu menang ia ibarat menyokong Najib Razak.

“Kita mesti tolak Najib, tolak BN. Bila nampak dacing itu Najib, pangkah dacing sama dengan pangkah Najib, pangkah BN bermakna sokong Najib,” katanya.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pula berkata, rakyat mesti menolak kerajaan PN yang dianggap cacamarba.

“Mereka huru-hara, semalam PAS cakap mereka jadi penaja nak tubuh PN bersama PPBM, Umno kata dia undur tidak masuk PN, PPBM kata dia masuk Muafakat Nasional (MN),” katanya.

No comments:

Post a Comment