Tuesday 25 August 2020

Lim Guan Eng dedah projek ‘rundingan terus’, Zafrul jangan baling batu sembunyi tangan

 

Nilai Projek Rundingan Terus Yang Diluluskan Oleh Kerajaan PH Sebanyak RM6.6 Bilion Hanya 1.4% Daripada Jumlah Keseluruhan Nilai Perolehan Sebanyak RM 477.4 Bilion.

Semalam di Parlimen, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah cuba mengalihkan perhatian kemelut “antara dua darjat”, di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melanggari kuarantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun “manja” hanya RM1,000, sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara 1 hari,

Menteri Kewangan menyatakan bahawa 101 projek rundingan terus yang bernilai sebanyak RM6.6 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan pentadbiran PH. Dalam kata lain, kos purata setiap projek rundingan terus di zaman PH adalah RM65.3 juta. Namun, berapakah peratusan RM6.6 bilion ini berbanding dengan nilai keseluruhan perolehan di bawah PH?

Jawapan ialah 1.4%!

Bolehkah Zafrul turut menyatakan nilai projek-projek rundingan terus oleh Barisan Nasional (BN) dan projek-projek rundingan terus yang diluluskan olehnya di bawah Perikatan Nasional (PN)? Adakah nilai projek -projek rundingan terus tersebut kurang atau lebih daripada 1.4% jumlah keseluruhan perolehan kerajaan?

Senarai berikut merupakan beberapa projek rundingan terus oleh kerajaan BN yang bernilai berbilion-bilion, malah puluhan bilion ringgit. Kes sensasi Jepak Holdings zaman BN yang melibatkan skandal rasuah orang kuat BN di mahkamah pun sudah bernilai RM1.2 bilion.

12 projek rundingan terus BN dalam senarai di atas sahaja sudah mencecah RM139.3 bilion. Itu pun belum lagi senarai penuh. Bandingkanlah dengan 101 projek rundingan terus PH sebanyak RM6.6 bilion (kos purata RM65.3 juta setiap projek). Nilai projek rundingan terus PN yang diluluskan oleh Zafrul belum tahu lagi.

Menteri Kewangan juga gagal untuk mendedahkan senarai penuh 101 projek rundingan terus PH dan syarikat terlibat. Mengapa takut untuk berbuat demikian? Menteri Kewangan tidak harus menyembunyi dan main sorok-sorok maklumat. Saya cabar dia dedahkan kesemuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan syarikat mana yang berjaya mendapat tender, kroni siapa yang dapat, serta Menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus.

Atau Zafrul takut akan terbongkar nanti bahawa Perdana Menteri sendiri, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri PH dan Menteri-menteri “Pengkhianat” yang lain, pun ada memohon projek rundingan terus (direct award) daripada saya sebagai Menteri Kewangan? Adakah Perdana Menteri PN juga bersalah jika beliau memohon projek rundingan terus pada masa itu? Sampai hati mereka ini “mengutuk” diri sendiri.

Perlu ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH yang menyatakan dalam Janji 23, “Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”. Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu.

Pengecualian daripada menggunakan kaedah tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan yang dilampirkan, iaitu, tertakluk kepada syarat tertentu seperti perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia), kepakaran khusus (one of a kind) dan sebagainya. Kabinet juga boleh memutuskan untuk melaksanakan rundingan terus, satu perkara yang nampaknya semua Menteri-menteri “Pengkhianat” sekarang sudah lupa.

Tengku Zafrul harus mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran BN, PH dan PN. Jangan fitnah. Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Jangan cuba mencipta persepsi untuk mengalih perhatian daripada kepincangan dalam PN.

Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.

LIM GUAN ENG

No comments:

Post a Comment