Friday 14 August 2020

Mujahid pesan jagalah Tabung Haji baik-baik, jangan sampai sakit lagi

 


Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengulangi pendiriannya bahawa untuk menyelamatkan kewangan Tabung Haji, kerajaan perlu menangani beberapa aset sakit yang sememangnya akan memberi kesan kepada aset-aset baik di dalam Lembaga tersebut.

Beliau berkata, Pelan Pemulihan atau Penstrukturan semula Tabung Haji adalah langkah tepat untuk menyelamatkan TH, sekaligus memastikan kedudukan kewangan agensi umat Islam itu tidak terkesan disebabkan aset-aset yang mendatangkan kerugian.

“Saya lebih lihat kepada nak jaga TH supaya jangan sakit kerana nak bagi subsidi tunai haji kepada rakyat Malaysia bukan sikit, lebih kurang RM300 juta setiap tahun.

“Jadi untuk kekalkan pencapaian, TH kena sihat. Kalau tak sihat, macam mana nak buat kerja-kerja yang disebutkan yb Azeez,” katanya dalam program debat ‘Berani Semuka Mujahid vs Abdul Azeez’ di Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim berbangga dengan pencapaian pentadbiran Barisan Nasional oleh kerana berjaya mengagihkan hibah yang tinggi kepada para pendeposit Tabung Haji.

Katanya, tidak pernah juga berlaku di dalam sejarah, ada negara selain Malaysia yang boleh membawa jemaah sehingga 60 hari dengan bayaran kurang dari RM10,000.

Justeru, Mujahid yang juga bekas Menteri Agama itu berkata, menerusi konteks yang disebutkan Azeez, pentingnya untuk memastikan keadaan kewangan TH terus sihat.

Beliau turut mempersoal kewajaran memberi hibah tinggi dalam keadaan Tabung Haji menanggung defisit sehingga RM4 bilion.

“Dalam konteks ini, bagi hibah tinggi tetapi tidak ‘sustainable’ kerana hibah tak sepadan dengan untung, hanya akan jejaskan TH untuk jangka masa yang panjang

“Ini lah politik Umno. Walaupun tak boleh keluar hibah, dia bawa juga hibah dan bercanggah dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji,” katanya lagi.

Seksyen 22 Akta Tabung Haji iaitu pemberian hibah perlu mematuhi dua syarat utama iaitu jumlah aset TH melebihi liabiliti dan pada masa sama agensi itu juga perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment