Sunday, 23 August 2020

Kenapa Khairuddin tak mengaku ingkar SOP bila dikompaun 7 Ogos?


KATA MP | Denda RM1,000 terhadap menteri PAS untuk menutup persoalan mengenai tindakan beliau yang mengingkari SOP Covid-19 kelihatan agak aneh dan menimbulkan lebih banyak tanda soal -- mengapa Khairuddin tidak mengaku sebegitu sejak daripada awal lagi, apakah hasil penyiasatan Kementerian Kesihatan, dan bagaimana pula dengan ahli-ahli rombongan yang pergi ke Turki bersama dengan menteri tersebut?

Denda RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali untuk menutup persoalan daripada rakyat mengenai tindakan beliau yang mengingkari SOP Covid-19 kelihatan agak aneh dan kini telah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Jika pihak Kementerian Kesihatan telah pun bertindak seawal 7 Ogos dan telah mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 pada tarikh tersebut, dan menteri berkenaan telah pun membayar kompaun tersebut, persoalan berikut timbul dan perlu dijawab:

Mengapakah menteri tidak mengaku pelanggaran SOP telah berlaku sejak daripada awal isu ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok pada 18 Ogos?

Mengapakah menteri memberi pelbagai alasan, yang kononnya lawatan ke Turki tersebut telah pun diluluskan oleh perdana menteri, kononnya menteri tersebut telah pun menjalani satu “ujian saringan khas” untuk para menteri dan didapati negatif, dan kononnya Turki adalah sebuah “negara zon hijau”?

Jika tindakan telah pun diambil pada 7 Ogos, apakah perkara yang disiasat oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh empat hari yang lepas?

Adakah benar kompaun RM1,000 ini telah dibayar oleh Khairuddin pada 7 Ogos?

Mengapakah pihak Kementerian Kesihatan tidak memerlukan Khairuddin untuk memakai gelang tangan berwarna merah jambu, untuk diperhatikan dan dikuarantin? 

Adakah Khairuddin enggan untuk mematuhi arahan kuarantin?

Bagaimana pula dengan mereka yang lain yang turut menyertai lawatan Khairuddin ke Turki? Berapa ramaikah jumlah ahli rombongan ini, siapakah mereka, dan adakah mereka juga telah dikenakan kompaun?

Ataupun, adakah kenyataan berkenaan denda ini hanya dikeluarkan untuk menyelamatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kelihatan lemah dan untuk mengelakkan malu daripada terpaksa menjawab persoalan-persoalan yang bakal timbul akibat pelanggaran SOP yang dilakukan oleh Khairuddin.

Soalan-soalan seperti adakah benar wujud satu “ujian saringan khas” untuk para menteri, timbalan menteri, dan penjawat tinggi kerajaan, dan berapa ramaikah mereka yang telah dibenarkan untuk ke luar negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di antara 18 Mac sehingga 3 Mei, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di antara 4 Mei sehingga 9 Jun, dan di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula pada 10 Jun dan dijadualkan berakhir pada 31 Ogos, berserta dengan tempoh dan tujuan lawatan luar negara mereka.

Selain itu, persoalan seperti berapa ramaikah menteri, timbalan menteri, dan penjawat tinggi kerajaan telah dibenarkan untuk ke luar negara dan kembali atas “sebab-sebab peribadi” tanpa perlu mematuhi SOP ini juga harus dijawab.

Saya teringat kepada satu amaran mengenai membuat penipuan, jika seseorang itu menipu, maka dia akan terpaksa membuat beribu lagi penipuan untuk menyorokkan penipuannya itu.

Saya tidak pasti sama ada penipuan ini adalah penipuan yang mematuhi syariah.

Perdana Menteri sepatutnya bersetuju untuk merujuk Khairuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, memandangkan beliau telah melakukan satu salah guna hak parlimen yang amat serius.

No comments:

Post a Comment