Saturday 22 August 2020

Salah guna kuasa Menteri, Timbalan Menteri dalam Pharmaniaga dikuathiri membahayakan nyawa rakyat dan wajar disiasat serta merta

 


Kenyataan media Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim

22 OGOS 2020 | KUALA LUMPUR

Saya merujuk kepada laporan media pendedahan satu surat sokongan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz kepada Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaacob untuk melantik anak Timbalan Menteri tersebut menjadi ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad.

Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, anak Timbalan Menteri tersebut, juga merupakan seorang Exco Pemuda UMNO.

Ismail Sabri turut mengakui kebenaran perkara ini dalam media.

Tindakan memberikan surat sokongan kepada anak sendiri oleh Timbalan Menteri dan nota sokongan oleh Menteri ke atas surat sokongan tersebut jelas merupakan tindakan salah guna kuasa.

Pharmaniaga merupakan syarikat lantikan Kerajaan Malaysia untuk membekalkan ubat-ubatan serta peralatan perubatan kepada hospital dan klinik kerajaan. Justeru, syarikat ini merupakan satu perindustrian strategik terutamanya ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Salah guna kuasa dan campur tangan politik demi kepentingan peribadi dan keluarga bukan sahaja akan menyebabkan kerugian syarikat malah mendatangkan kemudaratan ke atas nyawa rakyat Malaysia.

Carian melalui laman web turut mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua orang pemimpin UMNO yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut pada bulan Ogos 2020.

Keadaan ini amat membimbangkan. Adakah Pharmaniaga kini menjadi lubuk habuan untuk kroni dan ahli keluarga orang politik Perikatan Nasional?

Saya menyeru Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk segera menyiasat salah guna kuasa ini sebelum perkara tersebut menjelaskan sektor perubatan negara.

Steven Sim Chee Keong

No comments:

Post a Comment