Sunday, 23 August 2020

Tolak PN tiada manifesto, Pas hilang prinsip

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada pada hari ini terbentuk tanpa manifesto khusus sekali gus tiada dasar pembangunan untuk manfaat rakyat dan hala tuju negara.

Sehubungan itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan rakyat perlu menolak kerajaan PN lantaran berada dalam keadaan cacamarba berbanding Pakatan Harapan (PH) yang kemas dengan tawaran manifesto.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, setiap parti yang berpayung di bawah gabungan PN mempunyai pendekatan dan prinsip berbeza tanpa penyelarasan dengan yang paling hilang prinsip adalah Pas.

“Mereka (PN) tidak ada manifesto, Umno dengan cara dia, Pas dengan cara Pas. Sekarang bila jadi kerajaan mereka tidak peduli soal RUU 355, soal LGBT, dia tak peduli apa dah.

“Tidak ada prinsip, keadaan Pas sekarang berbeza, saya lama dalam Pas, saya tidak pernah bermimpi Pas jadi macam sekarang, hilang prinsip.

“Umno saya hormat sebab dia kekal cara dia, MCA kekal cara dia, Pas kita tak tahu hilang pegangan bila jadi kerajaan, dulu mereka kata kita menentang Umno bukan kerana dia Umno, sekarang Umno sahabat kita.

“MCA dengan cara dia, Pas dengan caranya, MIC dengan cara dia, PPBM dengan cara dia. Mereka tidak ada manifesto, menteri itu begini, menteri ini begini,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian dalam Ceramah Perdana PH membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi malam tadi.

Mohamad menjelaskan berbeza dengan PN, PH terbukti komitmen terhadap manifesto seperti Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain ketika timbul isu Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan pada awal terbentuknya kerajaan.

“Kita PH ada manifesto, dulu tidak setuju Dr Mahathir Mohamad jadi menteri, kita tidak mahu ulang macam zaman dulu (BN), dia (Mahathir) hanya perlu jadi PM,” tegasnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu mengakui kerajaan yang diterajuinya terbentuk dalam keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

Sehubungan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, setiap kementerian dan jabatan diarah mengemukakan cadangan mengenai perkara dan dasar pembangunan untuk manfaat rakyat dan kumpulan tertentu termasuk pelabur.

Malah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pada Mac lalu berkata, kerajaan PN tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan mana-mana manifesto.

“Saya fikir kerajaan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan mana-mana manifesto memandangkan ia terbentuk selepas pilihan raya.

“Bagaimana manifesto yang tidak sama bahkan bertentangan satu sama lain boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang sama?” dipetik Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment