Sunday, 9 August 2020

'Pilihan untuk Bersatu Johor - menikus bawah Umno atau kembalikan mandat rakyat'


Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali melihat penubuhan parti baru - seperti yang diumumkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad - akan memberi pilihan kepada Bersatu Johor yang menurutnya ibarat “anak tiri” dan “tongkat” dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Dia berkata meskipun kerajaan pusat diterajui Bersatu di bawah pimpinan presidennya Muhyiddin Yassin, tetapi di peringkat akar umbi di Johor ia hanyalah indah khabar dari rupa.

“Bersatu ibarat anak tiri sahaja. Mereka dianggap sebagai pesaing Umno-PAS...Bersatu gagal memainkan peranan secara maksimum kecuali sekadar menjadi tongkat demi mengukuhkan kerajaan pimpinan Umno di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Adun Paloh itu, kerjasama antara Muafakat Nasional - terdiri daripada Umno dan PAS - dengan Bersatu seperti tidak wujud di Johor, malah dia mendakwa Bersatu tidak dijemput dalam satu program Hari Raya Aidiladha yang dihadiri menteri besar Hasni Mohammad serta disertai ahli Umno dan PAS.

Bersatu dan Umno hanya duduk semeja sebagai PN hanya dalam majlis rasmi kerajaan, dakwanya lagi.

Justeru itu, Sheikh Umar berkata parti baru yang akan ditubuhkan Mahathir akan menyediakan pilihan kepada Bersatu Johor "sama ada terus menjadi bidak mengukuhkan kerajaan yang diterajui Umno atau mengembalikan kerajaan pilihan rakyat".

"Jika Bersatu Johor menyokong parti baru Tun Mahathir dan kembali bekerjasama dengan PH, mandat rakyat pada PRU ke-14 dapat dikembalikan.

“Pun begitu, hal ini tergantung pada kebijaksanaan rakan-rakan Bersatu Johor untuk sama ada terus menikus di bawah kuasa Umno Johor atau mengambil langkah berani menjunjung mandat yang telah diamanahkan oleh rakyat,” katanya lagi.

Sheikh Umar mengulas laporan Malaysiakini yang memetik sumber bahawa kemungkinan berlaku penghijrahan anggota Bersatu di Johor ke parti baru nanti.

Seorang Adun kanan Bersatu Johor memberitahu terdapat minat yang sangat besar untuk menyertai parti tersebut walaupun ia belum ditubuhkan secara rasmi.

Kelmarin, Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru berasaskan Melayu, yang membawa kepada tindak balas keluar parti oleh sebahagian ahli Bersatu.

Antara yang telah berbuat demikian ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu - Ulya Aqamah Husamudin, A Kadir Jasin, Tariq Ismail Mustafa dan Abu Bakar Yahya; exco Armada, Abu Hafiz Salleh Hudin; Adun Jeram di Selangor, Mohd Shaid Rosli.

Beberapa bulan lalu, terdapat laporan berhubung percakaran antara Umno dan Bersatu di Johor berhubung soal lantikan jawatan dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Umno Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan parti baru tersebut sebagai lambang perpecahan orang Melayu.

Memetik sajak nukilan Mahathir sendiri iaitu Melayu Mudah Lupa, dia mengimbau bagaimana pada PRU 1955, orang Melayu hanya memilih antara Umno dan PAS tetapi undi masyarakat itu kian terpecah dengan kelahiran PKR sekitar 1998, Amanah selepas PRU-13, dan Bersatu sekitar 2016.

“Lupakah Melayu? Kini menjelang PRU ke-15, muncul pula satu lagi parti Melayu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran perpecahan dalam Bersatu.

“Kini orang Melayu mempunyai enam parti politik yang berbeza. Apakah perpecahan dalam kalangan Melayu baik untuk kaum berkenaan?

Mohd Hairi berkata, Umno dan PAS pula mengambil langkah berbeza dengan mengukuhkan perpaduan orang Melayu dengan membentuk Muafakat Nasional. 

Menurut Mahathir yang merupakan pengasas Bersatu, parti yang akan ditubuhkannya itu tidak terikat dengan PH mahupun PN tetapi akan menjadi kumpulan yang dapat menentukan pemenang dalam pilihan raya.


Bersatu mengalami krisis apabila presidennya, Muhyiddin Yassin, membawa parti itu meninggalkan PH bagi membentuk kerjasama dengan Umno-BN, PAS, PBS, GPS, dan Star dalam Langkah Sheraton hujung Februari lalu, sementara Mahathir dan beberapa lagi yang menyokongnya tidak setuju dengan langkah itu.

No comments:

Post a Comment