Sunday, 9 August 2020

Kes Guan Eng: Beri keadilan pada yang terdakwa dan mendakwa

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa bertindak telus, bebas dan tidak pilih kasih semasa menengani kes bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew.

Pertubuhan Lawyers For Justice berkata apa-apa perkara berbangkit perlu diperbetulkan segera agar keadilan dapat diberikan bukan saja kepada pihak yang didakwa, malah yang mendakwa.

"Setiap individu di Malaysia dijanjikan hak untuk melalui proses perundangan dan perbicaraan yang adil di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Proses tindakan undang-undang sama penting dengan proses perbicaraan sesuatu kes.

"Proses yang telus dan bebas yang tidak pilih kasih (double standard) akan memberi keyakinan kepada rakyat yang menuntut keadilan ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Senator Yusmadi Yusoff; Anggota Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; dan Pengerusi Persatuan Hak Asasi Harapan Rakyat, Raveenthran V Subramaniam.

pada 6 Ogos lalu Lim yang juga bekas menteri kewangan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dan bermalam dalam lokap agensi antirasuah berkenaan sebelum didakwa di mahkamah keesokan harinya.

Mesti nampak dilaksanakan

Lawyers For Justice berkata mereka terkilan apabila melihat ada pendekatan pilih kasih oleh pihak SPRM dalam proses penyiasatan kes Lim berbanding ahli politik lain.

Contohnya, kata mereka, Lim dikenakan pakaian berwarna oren semasa ditahan manakala ahli politik lain yang melalui proses sama namun tidak dikenakan pakaian tersebut.

Kata Lawyers For Justice SPRM boleh saja mengarahkan Lim hadir di mahkamah pada hari pendakwaan - sama seperti ahli politik lain - dan tidak perlu dilayan sebagai banduan, penjenayah atau pesalah sebelum proses undang-undang dijalankan.

"Pada kami keadilan tidak mengenal warna, tidak mengira pangkat, darjat apatah lagi fahaman politik.

"Proses tindakan perundangan adalah sama penting dengan proses perbicaraan sesuatu kes.

"Proses yang telus dan bebas yang tidak double standard akan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia yang menuntut keadilan yang sentiasa ditegakkan," katanya.

Justeru Lawyers For Justice yang dianggotai peguam kanan itu menggesa hal sedemikian dapat diperbetulkan segera demi keadilan.

"Lebih penting biarlah rakyat tahu keadilan bukan saja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan," katanya.

No comments:

Post a Comment