Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP merangkap ahli Parlimen Bagan, Saudara Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 11.8.2020
Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah ditahan dua kali oleh SPRM namun tidak pernah tidur di dalam lokap menjadi bukti bahawa kerajaan PH tidak pernah mencampuri urusan SPRM dalam menjalankan penyiasatan. Saya juga tidak terkejut yang Najib telah memilih untuk membuat serangan peribadi terhadap saya dan isteri saya. Kami telah ditangkap dan didakwa oleh SPRM walaupun wang RM3.3 juta yang kononnya suapan tidak pernah dijumpai dalam mana-mana simpanan kami.
Najib tidak perlu tunjuk pandai dan konon-konon tahu bagaimana keadaan penjara atau lokap. Saya sendiri telah ditahan di Pusat Tahanan Kamunting untuk 18 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 dan sekali lagi dipenjara untuk 18 bulan di Penjara Kajang pada 1998. Mungkin Najib beranggapan bahawa lokap SPRM semacam bilik hotel kerana beliau yang tidak pernah menginap di situ.
Najib telah mengakui yang beliau tidak ditempatkan di lokap SPRM pada 20 September 2018 sebaliknya diletakkan di dalam bangunan SPRM. Rujuk :
Di manakah sebenarnya Najib menginap pada malam itu? Untuk rekod, tiada penafian atau pembetulan terhadap kenyataan Najib dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki atau SPRM sendiri.
Azam sebetulnya menjawab soalan saya secara profesional dan bukannya mencabar saya untuk membuat laporan polis atau saman SPRM di mahkamah berkenaan komen saya di Facebook. Dalam hantaran tersebut saya langsung tidak menyebut tentang layanan pegawai SPRM ketika saya dalam tahanan SPRM pada 6 ke 7 Ogos 2020.
Saya cuma mempersoalkan SPRM mengapa Menteri Kewangan sebelum saya tidak menerima layanan seperti saya; tidur di dalam lokap berlantaikan papan tanpa tilam dan bantal selain memakai T-shirt lokap SPRM berwarna oren. Saya juga ingin tahu bagaimana penyokong-penyokong PN sudah mengetahui tentang pendakwaan saya empat hari sebelum saya didakwa pada hari Jumaat? Adakah pihak SPRM akan mengambil tindakan atau berpura-pura tidak tahu tentang kebocoran maklumat dalaman?
Dari nada beliau, Najib mungkin fikir bahawa isteri saya sedang melalui apa yang dilalui oleh isteri beliau sebelum ini. Saya ingin menegaskan bahawa semua tuduhan rasuah terhadap saya dan isteri saya adalah tidak berasas. Saya berasa amat marah apabila isteri saya telah dijadikan sasaran walaupun dia tidak terlibat dengan apa-apa urusan kerajaan. Apatah lagi saya tidak mampu untuk memberikan isteri saya 12,000 bentuk barang kemas yang terdiri dari 2,200 bentuk cincin, 1,400 utas rantai, 2,100 gelang tangan, 2,800 bentuk subang, 1,600 bentuk kerongsang, 14 mahkota tiara, atau 423 utas jam mewah (antaranya berjenama Rolex, Chopard dan Richard Mille), 234 pasang kaca mata gelap mewah (termasuk yang berjenama Versace dan Cartier), 567 buah beg tangan mewah dari 72 jenama terkenal (termasuk dari Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN and Judith Leiber), 272 beg tangan Hermès (Birkin bag) or RM 116 juta dalam 26 matawang berbeza.
Najib telah mencabar saya untuk menjawab 10 soalan berkenaan projek terowong. Ini adalah percubaan jahatnya untuk memerangkap saya melakukan kesalahan menghina mahkamah (“contempt of court”). Saya tidak akan termakan dengan helah beliau untuk menjawab 10 soalan tersebut yang mungkin subjudis, kecuali untuk terus menegaskan bahawa projek terowong dan jalanraya itu telah dianugerahkan melalui proses tender terbuka dan bukannya oleh saya.
Lembaga Tender Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan dianggotai penjawat awam kanan yang lain telah membuat keputusan tentang syarikat yang mana memenangi tender. Tuduhan rasuah terhadap saya oleh SPRM adalah tidak berasas kerana ketika siasatan, mereka tidak menjumpai apa-apa wang rasuah dalam milikan saya mahupun membuktikan yang wang rasuah itu wujud.
Najib sememangnya diberi layanan istimewa di mana beliau bukan sahaja tidak perlu direman dalam lokap SPRM malah tidak malu untuk terus bercakap sesuka hati walaupun telah diputuskan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan SRC International. Saya tiada layanan istimewa sedemikian, justeru saya akan membuktikan kebenaran di Mahkamah nanti. — Roketkini.com
No comments:
Post a Comment