Mesej Penghargaan oleh Setiausaha Agung DAP merangkap ahli Parlimen Bagan, Saudara Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada 11.8.2020
Saya ingin merakamkan penghargaan saya yang tidak terhingga kepada pemimpin PH, DAP dan rakan-rakan yang hadir untuk menyatakan sokongan, simpati dan solidariti kepada saya dan Betty pada pagi tadi di Mahkamah Butterworth. Anda semua telah hadir dan tetap mematuhi SOP Covid-19. Pihak lawan berniat untuk mengaibkan kami dan menekan kami, namun anda semua telah menunjukkan keyakinan terhadap kebenaran dan integriti kami berdua.
Pertuduhan terbaru terhadap kami berdua tidak mempunyai asas kerana tender terbuka baru telah dilaksanakan dan Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB) tidak diberikan projek tersebut. Mengapa mendakwa kami padahal syarikat lain, dan bukan MESB, yang berjaya mendapat projek tersebut melalui tender terbuka? Jelas ini adalah permainan politik pihak lawan.
Saya berasa marah kerana isteri saya didakwa semata-mata kerana pekerjaannya sebagai perunding perundangan. Mengapa mengheret isteri saya ke dalam isu ini sedangkan selama ini dia berusaha sendiri sebagai peguam untuk mencari pendapatan halal? Tindakan melibatkan ahli keluarga saya ialah politik balas dendam.
Betty tidak memiliki barang kemas mahal-mahal, tiada beratus-ratus utas jam tangan mewah, tiada ratusan beg tangan berjenama dan tiada puluhan juta wang tunai. Sekali lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjumpai apa-apa wang rasuah dalam akaun bank kami mahupun dalam bentuk tunai. Jadi di manakah unsur rasuahnya?
Kami tidak terlibat dalam rasuah. Kami sentiasa dan akan terus melawan rasuah. Pertuduhan terbaru ini akan menjadikan kami lebih bertekad, lagi mereka menekan, lagi kami akan melawan rasuah dan kebatilan. Kita semua perlu berani kerana benar, serta yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan menang jua. — Roketkini.com
No comments:
Post a Comment