Thursday, 6 August 2020

Skandal 1MDB: Bila Muhyiddin mahu beritahu status baki AS$5 bilion?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan bila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu berterus terang di mana baki AS$5 bilion yang sepatutnya dituntut dari bank pelaburan Global, Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB.

Guan Eng mendakwa, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan Malaysia menuntut pemulangan semula wang sebanyak AS$7.5 bilion.

Namun hasil persetujuan Goldman dan Perikatan Nasional (PN), Goldman hanya memulangkan sebanyak AS$2.5 bilion (RM10.66 bilion) secara tunai dan bakinya AS$1.4 bilion (RM5.97 bilion) dipulangkan dalam bentuk aset dari hasil yang diselewengkan.

Itupun, ianya bukan dibayar oleh Goldman, sebaliknya Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ianya merupakan pengembalian aset haram yang dibeli menggunakan duit 1MDB oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS).

“Tindakan kerajaan Persekutuan yang mendiamkan diri berhubung pertikaian penyelesaian bersama Goldman, menunjukkan sikap PN yang tidak bertanggungjawab dan tidak telus menangani masalah berkaitan kepentingan awam.

“Bukan sahaja tuduhan jenayah terhadap 17 pengarah dan bekas pengarah mereka digugurkan, bahkan tidak ada tuduhan lanjut akan dikenakan terhadap Goldman, anak syarikatnya, termasuk mana-mana pengarah, pegawai dan pekerja mereka (kecuali bekas pekerja Tim Leissner dan Roger Ng),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng turut menegaskan, pengembalian semula AS$1.4 bilion sebenarnya sama sekali tidak berkait dengan perjanjian penyelesaian bersama Goldman.

“Malaysia akan menerima jumlah AS$1.4 bilion dari Jabatan Kehakiman AS dalam keadaan apa pun dan ianya tiada kaitan dengan penyelesaian bersama Goldman. Ini kerana hubungan baik yang dijalin oleh Malaysia dengan DOJ setelah PH mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018.

“Dalam erti kata lain, hak Malaysia untuk menerima AS$1.4 bilion bukan antara penyelesaian bersama Goldman,” katanya.

Terdahulu, kerajaan dan Goldman telah mencapai satu penyelesaian yang bakal menyaksikan sejumlah AS$3.9 bilion dikembalikan kepada Malaysia.

Tengku Zafrul pada 25 Julai lalu berkata, Goldman akan membayar AS$2.5 bilion secara tunai dan jaminan untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng.

No comments:

Post a Comment