Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke, menyatakan keyakinannya bahawa peristiwa cubaan rampasan kuasa yang berlaku di Sabah tidak akan berulang di negeri berkenaan.
Bercakap kepada media di Seremban hari ini, Loke berkata dia mempercayai anggota dewan undangan negeri (DUN) dari Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan.
“Saya yakin apa yang terjadi di Sabah tidak akan berlaku di Negeri Sembilan meskipun pemnbangkang akan tetap bermain psikologi dengan berkata bahawa Negeri Sembilan bakal menjadi sasaran selepas Sabah.
“Saya nak beritahu semua orang: Cakap dengan kami lagi sekali selepas lihat kesan di Sabah,” katanya hari ini. Rakaman audio sidang media itu diberikan kepada Malaysiakini.
Pada Julai 29 lalu, bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, mendakwa dia mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri sekali gus membayangkan kejatuhan kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal.
Pada keesokan harinya, dia memuat naik gambar untuk menunjukkan sokongan 33 Adun - termasuk dirinya - dari keseluruhan 65 kerusi yang ada di DUN Sabah.
Bagaimanapun, impian Musa tidak kesampaian selepas Mohd Shafie menasihatkan Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin, agar membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Kembalikan mandat kepada rakyat
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari ini untuk melaksanakan PRN Sabah.
Warisan bukanlah sebahagian daripada komponen PH namun cenderung dengan gabungan berkenaan.
Kata Loke, apa yang berlaku di Sabah merupakan pengajaran buat kerajaan di negeri lain agar bertindak pantas dan tegas apabila menghadapi pembelotan wakil rakyat.
“Jika mana-mana anggota (Adun) gabungan yang memerintah mengancam kerajaan negeri melalui pengkhianatan, maka kita harus hentikan tindakan mereka sepertimana Sabah dengan segera membubarkan DUN dan mengembalikan mandat untuk rakyat memilih.
“Katak politik tidak wajar dibenarkan untuk mempengaruhi atau menghasut pentadbiran negeri,” kata Loke yang juga anggota parlimen Seremban.
Selain itu, Loke menambah cubaan rampasan kuasa di Sabah juga memberi pengajaran kepada ahli politik terutama mereka yang berhasrat untuk berpaling tadah.
Katanya dengan pembubaran DUN Sabah, Adun yang kini menyokong Musa tidak lagi tahu ke mana hendak pergi untuk meneruskan kelangsungan politik masing-masing.
“Mereka ingat boleh dapat kuasa politik dengan lompat parti, mungkin dengan dapatkan faedah peribadi.
“Tetapi sekarang DUN sudah bubar, misi mereka sudah gagal. Lepas lompat parti, peluang mereka untuk menjadi calon sudah tidak kesampaian melainkan menjadi calon bebas,” kata Loke.
No comments:
Post a Comment